AM > BERITA

Elak timbulkan Isu Jejas Keharmonian Kaum Di Media Sosial - Tiong

31/08/2024 11:24 PM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos  (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menggesa semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang isu di media sosial yang boleh menyebabkan salah faham dan menjejaskan perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini.

Mengulas kritikan terhadap video tular berkaitan promosi pelancongan ke Melaka yang didakwa menonjolkan elemen satu kaum sahaja, Tiong berkata perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu.

Beliau berkata kementerian mendapati video itu dihasilkan oleh sebuah stesen televisyen di China bagi mempromosikan pelancongan Melaka kepada rakyat republik berkenaan, sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

“Janganlah kita mainkan isu yang bukan-bukan. Sebagai anak Malaysia, kita perlu belajar menjaga keharmonian dan perpaduan kerana itu yang paling utama untuk negara kita. 

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga sudah bekerja keras (untuk memastikan keharmonian terjaga), jadi beliau menaruh harapan agar kita juga bersatu tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya kepada pemberita selepas mengalu-alukan ketibaan kira-kira 200 pelancong China di bawah Beijing Jingdong Century Trading Co Ltd (JD.COM) ke Malaysia, di sini malam ini.

Tiong berkata kumpulan itu akan menjelajah ke seluruh negara hingga 5 Sept ini termasuk ke Negeri Sembilan dan Melaka.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan