AM > BERITA

Malaysia Akan Bertanding Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO

01/09/2024 11:23 AM

PUTRAJAYA, 1 Sept (Bernama) -- Malaysia akan bertanding bagi kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) penggal 2025 hingga 2029, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek selaku Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) akan mengumumkan secara rasmi pencalonan Malaysia sewaktu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO Xing Qu di Paris, Perancis.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Fadhlina akan mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis bermula esok hingga 4 Sept ini.

“Malaysia bersedia untuk bersaing mendapatkan kedudukan dalam Lembaga Eksekutif UNESCO bagi membawa misi pertumbuhan nasional yang inklusif, melindungi alam sekitar, dan mempromosikan keadilan sosial, bersandarkan kepada prinsip Membina Masa Depan Yang Berbeza (BFD),” menurut kenyataan itu. 

Menurut KPM, Malaysia beriltizam melaksanakan beberapa langkah penting untuk merealisasikan objektif BFD melalui kompetensi UNESCO dalam bidang seperti pendidikan, sains semula jadi, sains dan sains sosial, kebudayaan, dan inisiatif kerjasama dengan semua pihak

“Tindakan strategik ini dapat memberi sumbangan signifikan kepada impak kelestarian, inklusiviti, mencipta peluang, dan keamanan global,” menurut kenyataan itu.

Mengenai Minggu Pembelajaran Digital 2024, KPM memaklumkan penyertaan Malaysia adalah bertepatan dengan hala tuju pendidikan negara yang memberi fokus kepada tranformasi pendidikan digital. 

“Ia juga adalah wadah yang dapat menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan digital dan pertukaran pendapat serta maklumat selain meningkatkan keterlihatan Malaysia di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan