AM > BERITA

Luxon Diberi Sambutan Rasmi Di Dataran Perdana

02/09/2024 11:03 AM

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, di sini hari ini.

Luxon, yang tiba di Malaysia semalam untuk kunjungan pertama kali  beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lepas, disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus tiba pada 9.30 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Luxon kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Khairul Fakhzan Zainol Abidin.

Turut hadir pada majlis tersebut kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri Kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Luxon dan Anwar kemudiannya mengadakan pertemuan dua hala untuk membincangkan hal berkaitan hubungan antara Malaysia dan New Zealand serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu berkaitan hubungan dan kerjasama dua hala di bawah Perkongsian Strategik Malaysia-New Zealand yang dimeterai pada 2023, merangkumi empat tonggak Kemakmuran, Rakyat, Planet, serta Keamanan dan Keselamatan.

Usai mengadakan pertemuan dua hala, kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan sidang media bersama dan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan selepas itu.

Wisma Putra memaklumkan Anwar seterusnya akan meraikan Luxon dan delegasinya pada majlis makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana hari ini.

Pada 2023, New Zealand merupakan rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah sebanyak RM11.56 bilion (US$2.54 bilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan