AM > BERITA

Institut Penyelidikan Khazanah Saran Penubuhan Agensi AI Berpusat

02/09/2024 03:38 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mencadangkan penubuhan sebuah agensi kecerdasan buatan (AI) kebangsaan berpusat sebagai pusat tumpuan tunggal untuk menyelaras dan melaksanakan strategi Malaysia dari segi penerimagunaan AI dan tadbir urus.

Menurutnya agensi itu juga boleh berperanan untuk mewujudkan hubungan dalam kalangan pakar merentas sektor yang berbeza, dan menghimpunkan serta menyebarkan maklumat mengenai impak AI kepada orang ramai.

Selain itu, KRI turut mencadangkan kewujudan rangka kerja kawal selia yang tangkas supaya dapat disesuaikan dengan penerimagunaan AI di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, katanya syor-syor itu adalah antara yang diketengahkan dalam Perbincangan Meja Bulat Impak dan Tadbir Urus AI (AIIG) pertama, yang diadakan pada 27 Ogos lepas.

Acara itu menghimpunkan pihak berkepentingan utama, termasuk penggubal dasar, pegawai kerajaan, wakil sektor swasta, ahli akademik dan organisasi masyarakat bagi membincangkan masa depan tadbir urus AI di Malaysia.

“Pihak berkepentingan tadbir urus AI bersetuju mengenai keperluan kepada penyelarasan di peringkat nasional, dengan strategi yang jelas dan bersatu yang membawa kepada garis panduan atau peraturan sistematik dan proses pelaksanaan yang mudah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Malaysia boleh belajar daripada negara lain yang telah membangunkan garis panduan dan peraturan AI dengan membina perkongsian pembelajaran antarabangsa dan menyertai proses penetapan piawaian antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya peraturan global tidak seharusnya diterima pakai secara menyeluruh dalam konteks Malaysia.

“Oleh itu, KRI mengesyorkan untuk memastikan rangka kerja pengawalseliaan yang tangkas dalam konteks semasa Malaysia sebagai pengatur AI, yang boleh disesuaikan dengan penerimagunaan AI di Malaysia.

“Selain itu, turut diperlukan adalah menetapkan objektif nasional yang jelas untuk rangka kerja ini bagi memastikan keselarasan dasar merentas sektor dan dalam sektor terlibat,” katanya.

Sementara itu, KRI berkata kajian institut itu menekankan tiga risiko penting yang dikaitkan dengan AI, yang semakin terkebelakang di peringkat global kerana tidak diterima pakai, mengalami kesan yang tidak disengajakan daripada AI yang kurang selamat, dan penyalahgunaan AI.

“Oleh itu, KRI menyarankan untuk meningkatkan kemahiran penggubal dasar dan perkhidmatan awam mengenai kaedah untuk menggunakan dan mengawal AI,” kata KRI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan