AM > BERITA

Universiti Tsukuba Lancar Kampus Cawangan Luar Negara Pertama Di UM Hari Ini

02/09/2024 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Universiti Tsukuba dari Jepun hari ini melancarkan kampus cawangan di luar negara pertama yang memulakan operasi di Universiti Malaya (UM).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata penubuhan Universiti Tsukuba, Malaysia (UTMy) itu membuktikan keyakinan diberikan kepada Malaysia khususnya dalam sektor pengajian tinggi.

Beliau berkata penubuhan UTMy juga dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara sekali gus menandakan lembaran baharu dalam kerjasama akademik.

"Malaysia amat berbesar hati menjadi negara pertama di dunia sebagai tuan rumah kampus cawangan universiti Jepun. Ini merupakan pengiktirafan penting terhadap usaha kami dalam pendidikan tinggi dan ia mengukuhkan komitmen kami untuk memupuk kecemerlangan akademik.

"Perjalanan untuk membawa kampus cawangan Universiti Tsukuba ke Malaysia bermula 2018 dan majlis hari ini menandakan kejayaan usaha berkenaan. Pencapaian ini bukan saja bukti kerja keras kami tetapi juga pencapaian luar biasa dalam sejarah kerjasama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan kemasukan ke UTMy di sini hari ini.

Zambry berkata perkongsian itu membolehkan Malaysia memerhati serta berpotensi mengintegrasikan metodologi pengajaran dan pendekatan pedagogi inovatif yang telah lama diamalkan di Universiti Tsukuba di Jepun.

Beliau berkata Pusat Pengajian Sains dan Reka Bentuk Transdisiplin ditawarkan di UTMy, akan menyediakan program pendidikan bertujuan membangunkan bakat yang mampu menangani cabaran global.

"Kurikulumnya pelbagai, merangkumi sains data, sains semula jadi, kemanusiaan dan mendalami bahasa serta budaya Jepun.

“Kami amat percaya bahawa UTMy mempunyai banyak tawaran khususnya menyumbang kepada masyarakat Malaysia dalam menangani isu kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), kesihatan, pencegahan bencana, kelestarian alam sekitar dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, UTMy dan UM dalam satu kenyataan bersama memaklumkan penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba dalam Bangunan Wisma R&D UM, menandakan pengukuhan dalam perkongsian antara kedua-dua institusi berkenaan.

Menurut kenyataan itu, penempatan strategik kampus UTMy dalam kemudahan UM menyerlahkan komitmen bersama kedua-dua universiti dalam memupuk persekitaran akademik yang dinamik dan sinergistik.

“Terdapat 14 ahli fakulti sepenuh masa yang pakar dalam pelbagai bidang termasuk kehidupan dan alam sekitar, teknologi maklumat, kesusasteraan perbandingan, sains politik dan subbudaya.

"Pelajar akan dapat bekerja untuk syarikat dan organisasi global yang berpangkalan di Malaysia atau luar negara dan memainkan peranan aktif secara mampan selepas tamat pengajian,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Presiden Universiti Tsukuba Prof Nagata Kyosuke dalam ucapannya berkata Pusat Pengajian  Sains dan Reka Bentuk Transdisiplin UTMy bertujuan membangunkan individu dengan literasi sains data yang boleh menerapkan idea dan teknologi daripada sains semula jadi, kemanusiaan dan sains sosial kepada pelbagai isu global.

Beliau berkata dengan menggunakan pemikiran reka bentuk, para pelajar boleh menyumbang secara kreatif untuk menyelesaikan isu-isu global.

“Adalah sukar bagi kami untuk menyelesaikan banyak isu global hanya dengan disiplin akademik klasik. Sebaliknya pendekatan transdisiplin diperlukan.

“Sekarang kami mempunyai pelajar baharu di sini. Pelajar-pelajar ini adalah simbol kerjasama Malaysia-Jepun. Kami percaya pelajar-pelajar ini akan menamatkan program dengan jayanya dan memberi sumbangan besar kepada masyarakat di Malaysia, Jepun dan seluruh dunia dalam masa terdekat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan