AM > BERITA

Tambah Baik Kemudahan Di SK Bangsar Akan Dilaksanakan - Fahmi

02/09/2024 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Beberapa tindakan susulan akan dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar di sini, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

Beliau berkata dalam lawatannya ke sekolah itu hari ini, mendapati terdapat penambahbaikan pelbagai kemudahan seperti tandas dan penyaman udara serta aspek ‘non-structural’ yang perlu dilakukan.

”Di SK Bangsar ada beberapa perkara yang sedang diteliti termasuk menambah baik tandas dan juga kawasan-kawasan yang mungkin sejak 2016 dulu.. nampak macam ada retak-retak yang kecil yang sedang ditambah baik.

“Pemaju di kawasan sekitar dan JKR (Jabatan Kerja Raya) juga sedang meneliti (penambahbaikan)… insya-Allah kita akan susuli dengan beberapa tindakan untuk membantu menambah baik kemudahan di SK Bangsar,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu Fahmi meluangkan masa kira-kira hampir sejam meninjau sekolah berkenaan dan lawatan itu adalah kesinambungan daripada aktiviti ziarah dan menyantuni masyarakat di kawasan Parlimen Lembah Pantai. Terdahulu lawatan sama dilakukan di SK Bukit Bandaraya dan SK Bukit Pantai.

Sementara itu beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata usaha Ahli Parlimen untuk menyantuni sekolah di kawasan Parlimen masing-masing dilihat dapat membantu menangani masalah yang berlaku di sekolah.

“Saya nampak ini mungkin satu perkara yang boleh kita tangani bersama terutama bila ahli-ahli Parlimen boleh menyantuni sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen masing-masing untuk bantu tambah baik. 

“Tahun lepas saya telah bantu untuk menaik taraf Internet di semua 12 sekolah rendah dan menengah di Lembah Pantai, tapi tahun ini kita fokus kepada aspek fizikal, dan insya-Allah kita akan teruskan usaha ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan