AM > BERITA

My Token Teroka Teknologi Masa Depan

02/09/2024 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept  (Bernama) -- Acara MY Token pertama pada 14 hingga 15 Sept ini akan merubah landskap blok rantai dan Web3 di Malaysia dengan menghimpunkan perintis global dari seluruh dunia untuk mencorakkan masa depan inovasi blok rantai.

MY Token dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara ini akan menghimpunkan peserta industri penting seperti Horizen Labs, Forbes Web3, Polygon Chain, OX Media and Mocaverse yang menarik peserta dari seluruh dunia termasuk China, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Vietnam, Indonesia, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“MY Token bakal menjadi titik tumpuan tokoh global dalam dunia blok rantai dan Web3, membawakan pengalaman lain daripada lain di rantau ini. Satu daripada aktiviti utama ialah Main Untuk Ganjaran (Play to Earn), membolehkan pengunjung mencari harta di sekitar reruai yang turut serta.

“Dengan menyelesaikan cabaran dan mengumpulkan setem, ganjaran hebat boleh dimenangi termasuk peluang menaiki belon udara panas dan menyertai cabutan bertuah hebat yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM500,000,” menurut kenyataan itu.

Acara MY Token juga memaparkan teknologi, produk dan perkhidmatan blok rantai terkini, membolehkan pengunjung melihat sendiri inovasi yang membentuk persekitaran teknologi terpencar.

Pengunjung juga boleh menyertai sesi pendidikan, bengkel amali dan panel pimpinan pakar yang berkongsi ilmu berharga tentang teknologi dan trend baharu muncul, selain menyertai festival muzik pada 14 Sept dengan barisan penghibur dan artis terkenal.

Pengasas Bersama MY Token Sangeet Singh dalam kenyataan sama berkata tujuan platform berkenaan adalah menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi global, dengan menjalin kerjasama yang menentukan masa depan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy berkata acara berkenaan membuktikan komitmen malaysia untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan teknologi baharu seperti blok rantai dan Web3.

“Dengan menganjurkan acara sebesar dan sepenting ini, kami bukan sahaha memartabatkan kedudukan Malaysia sebagai hab transformasi digital tetapi juga memaparkan keindahan dan kepelbagaian budaya negara kita, untuk menarik pelancong dari seluruh dunia yang bakal mengembangkan lagi industri pelancongan negara,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Mahadhir Aziz yakin acara berkenaan bakal menjadi pemangkin pembangunan ekosistem Web3 di rantau ini dan memastikan negara kekal di hadapan dalam transformasi digital global.

“Dalam usaha berterusan kami menjadikan negara sebagai pemimpin serantau dalam inovasi digital, MY Token ialah satu acara penting menghimpunkan nama-nama besar dan memupuk kerjasama yang akan memacu industri ke depan. Bersama-sama membina asas bagi mewujudkan ekosistem digital terangkum yang mampu memperkasakan perniagaan dan insan,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai pameran, pas masuk dua hari disediakan pada harga RM30 dan boleh diperoleh menerusi www.mytokenasia.com.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan