AM > BERITA

Motosikal Baharu 150cc Ke Atas Perlu Dilengkapi Sistem ABS Mulai Tahun Depan - Ahmad Zahid

02/09/2024 07:36 PM

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Semua motosikal baharu berkapasiti 150cc dan ke atas perlu mempunyai Sistem Brek Anti Kunci (ABS) mulai 1 Jan depan, yang merupakan antara inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Malaysia Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas berkata malah berdasarkan kepada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, ABS boleh mengurangkan kematian dalam kalangan penunggang motosikal sebanyak 31 peratus semasa kemalangan. 

“Saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kematian pengguna jalan raya di Malaysia dan memberi inspirasi kepada negara ASEAN lain untuk melaksanakan langkah yang sama, menjadikan motosikal lebih selamat di seluruh rantau ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS), di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Ahmad Zahid berkata Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah melaksanakan Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP), sistem penarafan holistik pertama di dunia untuk motosikal, dan MyMAP telah melaksanakan penilian terhadap 28 model deripada tujuh syarikat motosikal.

“Inisiatif ini memacu industri motosikal ke arah pasaran berorientasikan keselamatan yang memberi manfaat kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Ahmad Zahid juga mencadangkan supaya skop MyMAP diperluaskan ke luar Malaysia untuk merangkumi rantau ASEAN atau Asia, meningkatkan keselamatan motosikal di seluruh benua.

"Dengan ini kita boleh tahu motosikal dari syarikat mana yang lebih selamat dan mana yang sebaliknya," katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Kabinet Malaysia Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas telah mencadangkan untuk menurunkan had laju di zon sekolah daripada 40 km/j kepada 30 km/j.

Timbalan Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan sekolah untuk melaksanakan sistem pengurusan kelajuan yang berkesan seperti memasang palang tertentu dan bonggol mengehadkan kelajuan di zon sekolah untuk memperlahankan kenderaan.

"Sekiranya inisiatif ini berjaya mengurangkan kemalangan jalan raya di zon sekolah, kami mungkin mempertimbangkan untuk memperluaskan had laju 30 km/j ke kawasan lain dalam kawasan bandar untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat kepada pengguna jalan raya," katanya.

Sementara itu, apabila ditanya sama ada cadangan kelajuan itu telah digazetkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata “keputusan sedang dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet, jadi kita perlu buat penyelarasan dengan beberapa kementerian, termasuk Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pendidikan”.

“Jadi kita akan mengambil sedikit masa untuk proses ini, namun saya ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana beliau berani membuat keputusan itu, yang mungkin tak popular tetapi penting demi keselamatan anak-anak kita di sekolah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan