AM > BERITA

Persidangan Sains Tropika Di Sarawak Tumpu Kemajuan Terkini, Cabaran Tropika

02/09/2024 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Persidangan Antarabangsa Sains Tropika Kedua (TropSc 2024) anjuran Tropical Science Foundation (TSF) akan menumpukan kepada isu kritikal seperti perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti, penebangan hutan dan kehilangan habitat.  

TSF dan Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam satu kenyataan memaklumkan acara itu yang akan berlangsung dari 16 hingga 17 Okt ini di The Waterfront Hotel, Sarawak akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Persidangan anjuran bersama ASM dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Kerajaan Negeri Sarawak akan diakhiri dengan Perikatan Tropika dan Deklarasi Kuching untuk Tropika.

Antara isu yang akan dibincangkan panel dari dalam dan luar negara ialah Pertanian Tropika, Seni Bina dan Kejuruteraan Tropika, Perubatan Tropika dan Sumber Asli Tropika.   

Selain itu, terdapat tiga tema khas yang akan dibincangkan meliputi Perubahan Iklim di Tropika, Sains Terbuka dalam Biodiversiti Tropika serta Perlindungan Pengetahuan Orang Asli dan Tempatan di Tropika.

Pengerusi TSF Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata Persidangan TropSc2024 menjadi platform penting untuk mengetengahkan isu alam sekitar dan sosial mendesak yang dihadapi di kawasan tropika.

“Persidangan ini membawa pakar daripada pelbagai bidang untuk bekerjasama dan mencari penyelesaian yang mampan. Kami berhasrat untuk memupuk pendekatan pelbagai disiplin bagi menangani cabaran dan memanfaatkan kekayaan alam semula jadi dan budaya di kawasan tropika. Tindakan ini dapat memastikan masa depan yang mampan untuk generasi akan datang,’’ katanya. 

Menurut kenyataan itu, kawasan tropika secara kolektif menampung 80 peratus daripada biodiversiti dunia, 45 peratus daripada hutan dunia dan 54 peratus daripada sumber air diperbaharu, dan menjelang 2050, rantau ini akan menempatkan lebih separuh daripada populasi dunia, dua pertiga ialah kanak-kanak dan 82 peratus daripada bahasa aktif di dunia dituturkan di kawasan tropika.      

Sementara itu, Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata kawasan tropika merupakan sumber penting biodiversiti global dan kestabilan iklim. 

“Kaya dengan biodiversiti dan sumber semula jadi serta ditambah dengan populasi muda yang semakin meningkat, ia berada pada kedudukan yang baik untuk membuat sumbangan positif kepada cabaran saintifik, budaya dan peradaban yang dihadapi oleh komuniti global.

“Pengetahuan peribumi, tradisional dan tempatan mesti diberi pengiktirafan sewajarnya bagi  melengkapkan pengetahuan saintifik. Persidangan ini bertujuan memudahkan pertukaran pengetahuan dalam kalangan saintis, pemimpin masyarakat, penggubal dasar dan pemain industri ke arah merumuskan penyelesaian holistik dan bersepadu untuk pembangunan mampan," katanya.

Penceramah yang sudah mengesahkan kehadiran bagi persidangan ini termasuk Prof Ziauddin Sardar daripada Pusat Dasar Pasca Normal dan Kajian Masa Depan (CPPFS), Prof Jeffrey Sachs (Pusat Pembangunan Mampan, Universiti Columbia) dan Dr Serge Morand (French National Centre for Scientific Research, Faculty Veterinary Technology, Thailand).

Penceramah lain ialah Ar Serina Hijjas daripada HIJJAS Architects and Planners,  Prof Francis Kéré (Kéré Architecture), Tengku Mohd Azzman Shariffadeen dan Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail (ASM).

Pendaftaran kini dibuka bagi peserta tempatan dan antarabangsa. Maklumat lanjut, sila layari https://www.akademisains.gov.my/events/tropsc2024/.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan