AM > BERITA

JPJ Perlu Tambah Baik Taraf Perkhidmatan Pelanggan - KSN

02/09/2024 11:44 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu menambah baik taraf perkhidmatan dan memastikan isu yang melibatkan kepuasan pelanggan dapat diatasi, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata demikian dalam hantaran menerusi laman Facebook selepas mengadakan lawatan mengejut ke ibu pejabat JPJ di Putrajaya hari ini.

“Proses kerja (masa menunggu) agak lama. Justeru, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ untuk mencari kaedah yang bersesuaian bagi memendekkan masa menunggu.

“Selain itu, ruang menunggu perlu ditambah baik bagi mendapatkan persekitaran yang kondusif dan mesra pelanggan (terdapat kerosakan kerusi dan juga tiada kipas). Saya telah mengarahkan Putrajaya Holdings untuk mengambil tindakan segera dalam minggu ini,” katanya.

Shamsul Azri berkata lawatan berkenaan bertujuan meninjau operasi dan perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai susulan penambahan waktu pengoperasian kaunter selama satu jam berkuat kuasa pada 19 Ogos lepas di beberapa negeri terpilih.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas dan anggota JPJ yang telah bertungkus-lumus memberikan khidmat yang baik kepada pelanggan dan turut meminta semua jabatan kerajaan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan