AM > BERITA

Tiga Maut Dalam Dua Kemalangan Berasingan Di Kelantan

03/09/2024 12:42 AM

KUALA KRAI, 2 Sept (Bernama) -- Dua wanita maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar dua kereta dari arah bertentangan di KM 76, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata mangsa yang berusia 48 dan 49 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, lebih kurang 4 petang tadi.

"Kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang oleh dua mangsa dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Pahi menghala ke Kampung Baru Pahi telah membelok ke kanan untuk masuk simpang sebelum kereta jenis Proton Iriz dari arah bertentangan tidak sempat membrek dan telah melanggar motosikal tersebut.

"Pada masa sama, motosikal mangsa berlanggar pula dengan kereta jenis Perodua Myvi sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 57 tahun maut dalam kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat (Kg.Batu Hitam), Tanah Merah, kira-kira 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Mohd Haki Hasbullah berkata kejadian berlaku sewaktu kereta pacuan empat roda jenis Nissan Navara dari arah Jeli ke Machang dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan, lalu melanggar mangsa.

Mangsa yang merupakan pemandu kereta jenis Proton Saga ketika itu sedang berhenti di bahu jalan dan berdiri di luar pintu bahagian pemandu kereta itu.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa telah tercampak jatuh ke dalam gaung di sebelah kanan jalan dan maut di tempat kejadian manakala tiga lagi penumpang Proton Saga mengalami cedera ringan," katanya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan