AM > BERITA

Pencemaran Bau: Penduduk Dakwa Busuk Dan Memeningkan Kepala

03/09/2024 04:47 PM

JOHOR BAHRU, 3 Sept (Bernama) -- Penduduk mendakwa pencemaran bau di Kampung Sungai Pandan dan kawasan sekitarnya sangat kuat dan memeningkan kepala.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Melayu Pandan Mohamad Fauzi Mohamad, 51, berkata bau busuk itu yang boleh digambarkan seperti bau gas tengik dapat dihidu sekitar 7.30 pagi tadi.

Tidak hanya itu, Sungai Pandan di kampung tersebut menurutnya juga telah berubah warna menjadi kehitaman serta berminyak dan berbau.

“Saya tengok keadaan sungai air surut tetapi warnanya tidak pernah seumur hidup saya lihat, warna hitam berkeladak dan berminyak.

"Bau busuk menyengat, siapa yang bau dalam tempoh yang lama akan rasa tekak menjadi kering,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, penyelia sebuah tadika di kampung itu Mohd Mizal Abdul Hashim, 42, berkata tadika yang terletak betul-betul bersebelahan sungai terpaksa ditutup akibat bau yang terlampau kuat.  

“Sebab kita tidak mahu ambil risiko dan minta seramai kira-kira 60 murid yang datang ke tadika pagi tadi untuk terus pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Penduduk Taman Istimewa, Mohammad Jaafar, 66, pula berkata bau sama turut dikesan di sekitar rumahnya pada 12 tengah malam tadi.

“Bau tersebut saya tidak dapat pastikan datang dari mana sebab macam dibawa angin. Tetapi, dalam pukul 4 pagi bau tersebut kembali reda dan tidak terlalu menyengat seperti tengah malam tadi,” katanya.

Pencemaran bau dikesan di kawasan sekitar Taman Mount Austin, Taman Daya, Taman Istimewa dan Kampung Melayu Pandan, di sini dan tinjauan Bernama di beberapa kawasan terlibat mendapati bau itu sememangnya menusuk hidung serta memeningkan kepala apabila lama dihidu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Pegawai Bomba Kanan (PBK) I KUP Khairul Azhar Abd Aziz menerusi kenyataan berkata 19 anggota termasuk dari BBP Larkin membuat pemantauan sebaik menerima laporan pada 1.30 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon pula dilaporkan berkata analisis peringkat awal terhadap sampel air dan tanah di Sungai Pandan yang diambil Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor mendapati terdapat kandungan bahan kimia, namun belum dapat dikenal pasti jenisnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan