AM > BERITA

Kemunculan Buaya Di Tasik Shah Alam, Orang Ramai Diminta Berhati-hati

03/09/2024 06:22 PM

SHAH ALAM, 3 Sept (Bernama) -- Orang ramai diminta berhati-hati ketika beriadah di Tasik Seksyen 7 di sini susulan dakwaan kemunculan seekor buaya di kawasan rekreasi berkenaan.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya telah memasang tali penghadang di sekitar kawasan tasik serta mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perhilitan Selangor berhubung perkara itu.

Pihak MBSA dan Jabatan Perhilitan Selangor juga telah melawat lokasi kemunculan buaya berkenaan dan akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

“Sebagai langkah kawalan, Jabatan Perhilitan Selangor juga akan meletakkan kain rentang peringatan di sekitar Tasik Seksyen 7 serta memasang perangkap bagi menangkap buaya berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan kemunculan seekor buaya seperti yang tular di media sosial.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh mengesahkan kehadiran buaya di dalam tasik berkenaan dan meminta orang ramai berwaspada dan kekal berada pada jarak selamat ketika beriadah.

Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti saiz reptilia berkenaan. 

"Pihak Perhilitan akan melakukan pemantauan berkala dan operasi pemindahan akan dijalankan bergantung kepada penilaian dan pemantauan semasa di lapangan," katanya. 

-- BERNAMA 


 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan