AM > BERITA

Ladang Ternakan Ayam Di Bukit Pelanduk Dikesan Jejas Kualiti Air Persekitaran

03/09/2024 09:41 PM

PORT DICKSON, 3 Sept (Bernama) -- Sebuah ladang ternakan ayam berkeluasan sekitar 2.02 hektar di Bukit Pelanduk dekat sini yang telah beroperasi hampir 20 tahun disyaki menyebabkan pencemaran serta menjejaskan kualiti air di kawasan persekitaran dan air laut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan S. Veerapan berkata susulan aduan penduduk sekitar, Badan Kawal Selia Air negeri telah mengambil sampel air parit di ladang berkenaan bagi siasatan lanjut.

Tinjauan mendapati ladang ternakan ayam itu dijalankan di tempat terbuka dengan persekitaran tidak terurus selain air longkang dan parit berwarna hitam serta dipenuhi lalat dan ulat sampah.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ke lokasi ini mendapati berlaku pencemaran air di ladang itu disyaki daripada najis haiwan. Hasil siasatan dijalankan, terdapat ladang ayam penternakan ayam daging beroperasi dengan kapasiti ayam sebanyak 30,000 ekor telah beroperasi 20 tahun di sini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata ladang itu terletak di kebun kelapa sawit dan terdapat dua kolam takungan air digunakan untuk mencuci lantai di reban ternakan terbabit.

Pekerja ladang menggunakan air kolam ini untuk cucian lantai reban ayam yang dilakukan kira-kira dua bulan sekali selain tiada kemudahan rawatan air di ladang berkenaan, tambah beliau.

"Setelah membersihkan tinja ayam, lantai dicuci dan air cucian akan melalui longkang lalu mengalir ke dalam parit sebelum ke alur air berdekatan," katanya.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa pihaknya telah mengarahkan ladang itu ditutup sementara dengan Jabatan Veterinar negeri turut mengeluarkan notis kepada pemilik ladang supaya melakukan kerja pembersihan dan kompaun telah dikenakan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan