AM > BERITA

Jumlah Pelaburan Diluluskan Dari Jan-Jun 2024 Melonjak Kepada RM160 Bilion - PM Anwar

03/09/2024 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh Januari hingga Jun 2024 melonjak kepada RM160 bilion, meningkat 18 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kesemua pelaburan tersebut melibatkan hampir 3,000 projek baharu yang akan membuka lebih 79,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

"(Jumlah pelaburan ini) dapat dicapai dengan kerjasama semua agensi dan kementerian seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan, juga jabatan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)," kata beliau menerusi ucapannya pada Majlis Sambutan Ulang tahun ke-30 Khazanah Nasional Bhd, di sini, hari ini.

Sementara itu Anwar turut menempelak keputusan tidak telus pentadbiran terdahulu yang memberikan peluang kepada beberapa kroni untuk menjahanamkan sesebuah syarikat, terutamanya syarikat yang menjadi simbol dan kebanggaan negara seperti Malaysia Airlines.

"Oleh kerana kesilapan itu, syarikat tersebut terbeban kepada kita sehingga kini,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata usaha untuk memulihkan syarikat penerbangan negara itu telahpun dimulakan oleh Khazanah Nasional.

"Saya ucapkan tahniah kepada Khazanah. Tetapi ia mengambil masa. Bagi kerajaan, hampir setiap minggu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kita bicara soal pemulihan dan reformasi; bagaimana untuk membantu menyelamatkan institusi negara,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan komited sepenuhnya untuk  memastikan kejayaan syarikat penerbangan itu kerana ia adalah syarikat penerbangan nasional negara dan perlu bangkit kembali untuk meneruskan perkhidmatan yang cemerlang.

Selain itu beliau turut memuji syarikat lain di bawah kelolaan Khazanah yang mencapai kejayaan diluar negara seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang memiliki lapangan terbang Istabul Sabiha Göçken International di Turkiye. 

"Dalam perbincangan saya dengan Presiden Turkiye Tayyip Erdoğan, beliau sebut akan keyakinannya terhadap syarikat MAHB untuk mengendali dan mengurus lapangan terbang penting di Istanbul. Ini menunjukkan keupayaan syarikat-syarikat di bawah kelola Khazanah," kata beliau.

Anwar berkata dalam era pasca normal yang dicirikan ‘kekacauan, kerumitan dan percanggahan’ Malaysia perlu memacu gerakan reformasi yang lebih segar dan segera selari dengan hasrat Ekonomi Madani untuk terus maju kehadapan. 

Justeru, amat penting untuk Khazanah menggalas tanggungjawab ini bagi menyokong gerakan islah dan pembaharuan kepada ekonomi negara, kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan