AM > BERITA

PM Anwar Tiba Di Vladivostok Untuk Lawatan Kerja Dua Hari

04/09/2024 07:56 AM

Daripada Niam Seet Wei

VLADIVOSTOK (Rusia), 4 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini pagi ini untuk lawatan kerja dua hari ke bandar raya pelabuhan utama di wilayah Timur Jauh Rusia.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok pada 8.33 pagi waktu tempatan (6.33 pagi waktu Malaysia).

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup serta pegawai kanan.

Perdana Menteri disambut Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai dan menyambut ketibaan bagi pihak Rusia Pengarah Third Asian Department  Ludmilla Vorobieva; Timbalan Gabenor Wilayah Primorskii Aleksei Nazdratenko dan Timbalan Datuk Bandar Vladivostok Daria Stegniy.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) berlangsung pada 3 hingga 6 Sept. Beliau akan menyampaikan ucapan pada sidang pleno pada 5 Sept.

Kemuncak lawatan adalah pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Anwar dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS kerana Rusia memegang jawatan Pengerusi BRICS.

Pada 28 Julai lepas, Anwar berkata Malaysia telah menghantar permohonan kepada Rusia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS susulan kunjungan hormat yang dilakukan oleh Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov.

Pada 18 Jun tahun ini, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

Sementara itu, pertemuan Anwar dengan Putin akan memberi peluang  kedua-dua pemimpin untuk membincangkan hubungan dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan selain meneroka kerjasama dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan teknologi termaju.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka bertukar-tukar perspektif mengenai konflik Rusia-Ukraine dan situasi di Timur Tengah, selain turut membincangkan kerjasama dalam konteks Perkongsian Dialog ASEAN-Rusia.

Anwar juga dijangka bertemu Timbalan Mufti Rushan Hazrat Abbyasov yang merupakan timbalan pengerusi pertama Majlis Mufti Rusia dan Lembaga Agama Islam serta menerima kunjungan hormat Rais (Ketua) Tatarstan Rustam Minnikhanov.

Ini adalah lawatan pertama Anwar ke Rusia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Pada 2023, Rusia merupakan rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah perdagangan dua hala meningkat sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.22 bilion (US$3.1 bilion), berbanding RM12.3 bilion (US$2.79 bilion) yang direkodkan pada 2022.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan