AM > BERITA

Rapid Bus Hantar 25 Bas Bagi Kegunaan Atlet, Pegawai Para SUKMA

04/09/2024 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), selaku rakan kongsi rasmi Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 akan menghantar 25 bas ke Sarawak untuk kegunaan atlet para dan pegawai sepanjang berlangsungnya temasya sukan itu.

Rapid Bus dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua bas ‘single deck’ itu dihantar menggunakan kapal laut yang akan berlepas dari Jeti Awal Idaman, Pulau Indah di Pelabuhan Klang pada 6 Sept dan dijangka tiba di Kuching pada 13 Sept.

“Bas-bas yang dihantar itu mempunyai ciri akses universal iaitu mesra golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mempunyai ruang luas bagi memudahkan pergerakan atlet-atlet Para SUKMA berkerusi roda.

“Di samping itu, bas-bas itu juga mempunyai ruang dalaman yang luas, yang dapat memuatkan lebih ramai penumpang,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus Ku Jamil Zakaria menerusi kenyataan itu berkata jalinan kerjasama antara Rapid Bus dan kerajaan Sarawak menunjukkan komitmen Rapid Bus dalam menghargai sumbangan komuniti OKU bagi pembangunan negara termasuk bidang sukan.

Sebanyak 44 petugas Rapid Bus terdiri daripada 30 kapten bas serta 14 staf sokongan akan tiba di Kuching secara berperingkat pada 13 dan 15 Sept ini dan kapten bas akan diberi latihan terlebih dahulu mengenai laluan bas di sana.

Para SUKMA 2024 Sarawak dijadual berlangsung pada 22 hingga 28 Sept ini.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan