AM > BERITA

PM Anwar Terima Kunjungan Hormat Rais Tatarstan Di Vladivostok

04/09/2024 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Rais (Ketua) Tatarstan, Rusia Rustam Minnikhanov sebaik tiba di Vladivostok, Rusia hari ini bagi lawatan kerja dua hari.

Menerusi catatan dalam Facebook, Anwar berkata pertemuan itu bagi meraikan persahabatan erat antara Malaysia dengan republik berkenaan selain turut membincangkan pelbagai isu termasuk kerjasama dari segi ekonomi dengan pelabur-pelabur dari Tatarstan dan Mesyuarat Russia-Islamic World Strategic Vision Group.

“Saya juga mengambil peluang menerangkan hala tuju Malaysia dalam beberapa bidang strategik berdasarkan polisi yang digariskan di bawah Ekonomi MADANI termasuk bidang transformasi digital, peralihan tenaga, pelancongan dan keterjaminan makanan.

“Semoga persahabatan akrab ini akan membawa manfaat yang terbaik buat Malaysia dan juga Tatarstan,” menurut catatan itu.

Bulan lepas, kedua-dua pemimpin bertemu ketika Minnikhanov melakukan kunjungan ke Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) berlangsung pada 3 hingga 6 Sept selain akan turut menyampaikan ucapan dalam sidang pleno pada 5 Sept.

Kemuncak lawatan ialah pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Anwar dijangka mengulangi hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS kerana Rusia memegang jawatan Pengerusi BRICS.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang pada mulanya terdiri daripada Brazil, Rusia, India dan China, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010. Pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah diterima sebagai anggota baharu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan