AM > BERITA

Memasyarakatkan Perlembagaan Penting Untuk Tingkat Literasi Rakyat - Saraswathy

04/09/2024 04:53 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Usaha memasyarakatkan Perlembagaan Persekutuan penting bagi meningkatkan literasi rakyat tentang asas pembinaan negara sekali gus mengelak salah faham yang timbul dalam kalangan rakyat di negara ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata ini kerana Perlembagaan Persekutan mempunyai sejarah yang perlu difahami dan dihayati agar masyarakat tidak terpedaya dengan sentimen yang dimainkan sesetengah pihak.

“Pada masa ini ada ramai pihak yang cuba untuk menukil perasaan prasangka atau rasa tergugat dengan menyentuh isu kedudukan Melayu, Institusi Beraja dan agama Islam akan terjejas. 

“Semua ini tak mungkin berlaku kalau kita lihat, faham Perlembagaan jadi kita mesti memasyarakatkan Perlembagaan supaya orang ramai faham dan arif bahawa Perlembagaan kita mempunyai peruntukan dan justifikasi yang unik kepada negara kita sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Dialog: Memasyarakatkan Perlembagaan Persekutuan anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara di Jabatan Muzium Negara di sini hari ini. 

Saraswathy berkata isu sensitif itu sering dimainkan pihak berkenaan ketika musim pilihan raya sebagai usaha untuk meraih sokongan dan undi. 

Justeru, sesi dialog untuk memberi pemahaman berkaitan Perlembagaan Persekutuan perlu bagi meyakinkan rakyat supaya tidak terikut dan menerima ‘bulat’ sebarang isu yang dibangkitkan pihak tertentu untuk kepentingan mereka. 

Terdahulu,  Saraswathy turut melancarkan Modul Latihan Memasyarakatkan Perlembagaan Persekutuan bagi meningkatkan literasi Perlembagaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibangunkan IKRAM dengan kerjasama Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan) di Pusat Pengajian Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Nazri Muslim yang bertujuan mendidik masyarakat tentang kefahaman dan penghayatan Perlembagaan sebagai amalan hidup. 

“Saya yakin setelah modul ini dimurnikan secara kolektif bersama Kementerian Perpaduan Negara serta agensi-agensi kerjaan yang lain, sudah pasti ia dapat memberi pemahaman meluas tentang Perlembagaan Persekutuan kepada pelbagai pihak. 

“… ini termasuk agensi kerajaan, sekolah dan institusi pengajian tinggi yang meliputi pelbagai peringakat umur,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan