AM > BERITA

Juruteknik Komputer Tinggalkan Kerjaya Usaha Ternakan Kelulut

05/09/2024 08:53 AM

KUALA BERANG, 3 Sept (Bernama) -- Sanggup berhenti kerja sebagai juruteknik komputer demi menjaga ibu di kampung, Mohd Imran Rosli, 40, dari Kampung Pauh, Hulu Terengganu kini bergelar usahawan kelulut.

Lebih istimewa ternakan kelulut yang diusahakan menggunakan 100 peratus sarang 'smart hive' yang lebih mesra alam sekitar dan mampu menghasilkan madu lebih berkualiti.

Mohd Imran berkata beliau mula terlibat dengan bidang ternakan kelulut pada 2016 selepas pulang ke kampung untuk menjaga ibu yang sakit.

Pada awalnya beliau hanya membeli madu kelulut untuk kegunaan ibu tetapi harga produk yang agak mahal membuatkan Mohd Imran terfikir untuk menternak sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan.

"Saya bermula dengan dua sarang daripada log pokok yang ditempatkan di pekarangan rumah. Tujuan asal hanya untuk kegunaan mak yang selalu sakit.

"Dari situ timbul idea untuk ternak secara komersial kerana saya pun tak ada kerja tetap. Daripada dua sarang kini saya dah memiliki lebih 100 sarang  di empat lokasi di Hulu Terengganu dan Marang," katanya ketika ditemui di Kampung Pauh, Hulu Terengganu di sini baru-baru ini.

Mohd Imran berkata beliau terdorong untuk menggunakan sarang ‘smart hive’ sepenuhnya setelah mengikuti pelbagai bengkel serta kursus berkaitan yang dijalankan oleh agensi kerajaan dan universiti.

Usahanya itu turut mendapat sokongan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang membekalkan bantuan ‘smart hive’ di bawah program Agropreneur Muda dan Mentor Menti.

"Penggunaan ‘smart hive’ mampu mengelak penebangan pokok yang berleluasa untuk dijadikan log kelulut.

"Selain itu, kualiti madu yang dihasilkan juga jauh lebih baik kerana lebih bersih dan bebas serangga perosak," katanya.

Setiap bulan beliau mampu menghasilkan sebanyak 50  kilogram madu kelulut yang dipasarkan sendiri di pasar malam dan pasar tani menggunakan jenama Harmony Madu Kelulut.

"Keistimewaan Harmony Madu Kelulut ialah khasiatnya lebih asli dan terpelihara kerana tidak melalui proses pengeringan untuk mengeluarkan kandungan air.

"Proses pengeringan dijalankan untuk menambahkan ketahanan madu kelulut," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan