AM > BERITA

Terima Kasih Malaysia Atas Bantuan, Sokongan Diberikan - Warga Palestin

05/09/2024 11:34 AM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- “Terima kasih kepada rakyat Malaysia atas bantuan dan sokongan yang diberikan kepada rakyat Palestin”, kata Banan Salmi Ahmad Abu Ratimah, 28, ketika ditemui di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini.

Gadis berasal dari Rafah, Gaza, itu seorang daripada 41 rakyat Palestin diiringi 86 waris mereka yang dibawa ke Malaysia pada 16 Ogos lepas bagi menerima rawatan susulan kecederaan dialami akibat serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

Beliau yang juga seorang peguam di Gaza mengalami kecederaan parah di kaki sebelah kiri dan terpaksa diamputasi hingga ke paras lutut selain luka pada tangan akibat serangan roket pemusnah rejim Zionis di kediaman ayah saudaranya pada 7 Okt tahun lepas. 

“Dalam kejadian itu, saya dan ibu sedang tidur di rumah pakcik. Pada waktu subuh, kediaman kami secara tiba-tiba dibom oleh rejim Zionis sehingga ibu dan pakcik saya mati syahid.. Saya sangat rindukan Gaza kerana ayah dan abang saya masih berada di sana ketika ini.

“Terima kasih Malaysia atas bantuan yang diberikan. Rawatan yang kami terima di sini sangat bagus dan pantas. Saya berharap boleh dapat kaki palsu supaya boleh berjalan seperti biasa,” katanya yang kini sedang menerima rawatan susulan di HAT Tuanku Mizan diiringi kakak sulung dan adik bongsunya.

Pada 16 Ogos lepas, 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Gaza, diiringi 86 waris mereka tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia untuk menerima rawatan.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata rakyat Palestin yang sedang dirawat di Malaysia hanya akan dihantar pulang ke negara mereka apabila keadaan bertambah baik atau sekurang-kurangnya gencatan senjata kekal dipersetujui semua pihak.

Sementara itu, Mohamed Sufyan Hassan, 29, yang mengalami kecederaan di rahang dan paru-paru akibat letupan di sebuah sekolah di Gaza oleh rejim Zionis hingga mengorbankan 70 orang termasuk datuknya, meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan ahli keluarganya di Gaza.

Pemandu lori di Gaza itu berkata sejak tiba di Malaysia, beliau masih gagal menghubungi isteri dan empat anak lelakinya iaitu Malik yang berusia enam tahun, Mazin (lima tahun), Sufyan (tiga tahun) dan Abd Rahman (sembilan bulan) berikutan capaian Internet lemah di Gaza.

“Tidak boleh digambarkan perasaan ini, sekiranya saya boleh bertemu dengan mereka yang berada di sana, rindu sangat tetapi saya hanya mampu berserah kepada Allah. Saya berharap boleh bawa mereka ke sini untuk menerima rawatan,” katanya yang ditemani ibunya di sini.

Rania Abdel Fattah, 34, yang dirawat susulan kecederaan teruk di bahagian muka termasuk patah tangan dan kaki sebelah kanan akibat terkena serpihan bom berkata beliau amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia kerana telah memberikan layanan serta rawatan sangat baik kepada warga Palestin.

Menceritakan semula tragedi hitam apabila kediamannya dibedil rejim Zionis pada 13 Ramadan lepas, beliau berkata tragedi itu mengorbankan nyawa tiga ahli keluarganya, memusnahkan kediaman mereka dan mencederakan suami termasuk anaknya yang berusia tiga tahun.

“Saya harap Anwar boleh bantu bawa suami dan anak saya yang masih berada di Gaza untuk menerima rawatan di Malaysia. Anak saya di Gaza mengalami kecederaan teruk di muka namun tidak berpeluang untuk menjalani rawatan di sini,” katanya sambil menitiskan air mata kerana merindui suami dan anaknya.

Bagi Zain Suhail Saad,10, yang juga antara 41 warga Palestin yang dibawa ke Malaysia untuk menjalani rawatan, peluang menjejakkan kaki ke negara ini sesuatu yang amat diimpikan meskipun kehadirannya itu bertujuan menjalani rawatan sahaja.

“Saya kenal Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan tahu mengenai Malaysia melalui Internet. Apabila tiba di sini suasananya sama seperti apa yang saya lihat di telefon. Saya harap peperangan ini akan berakhir supaya ayah saya dapat datang ke sini ambil saya kerana saya rindukan dia,” katanya yang sedang menjalani rawatan dialisis di HAT Tuanku Mizan.

Ibu kepada Zain Suhail, Nisrin Saad, 38, pula berkata beliau pada mulanya bimbang keselamatan anaknya itu apabila dipilih untuk menerima rawatan di Malaysia namun perasaan itu bertukar syukur apabila melihat fasiliti kesihatan yang disediakan di HAT Tuanku Mizan.

Sesi pertemuan bersama warga Palestin dibantu oleh penterjemah Bahasa Arab Husna Mardiah Mohamed Radzi, Mej Lukman Hakim Abdul Wahab daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pegawai Agama Pusat Latihan Peperangan Khusus Tentera Darat Malaysia Kapten Ahmad Masykur Salahuddin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan