AM > BERITA

Noor Sherriyana Cabar Diri Sertai Kerjaya Didominasi 'Abang Bomba'

05/09/2024 10:10 AM

Oleh Noorazlina Jindeh

PUTATAN (Sabah), 5 Sept (Bernama) -- Apabila disebut ‘Abang Bomba’ biasanya apa yang bermain di fikiran ramai ialah sosok seorang lelaki bertubuh tegap bekerja keras menyelamatkan nyawa dalam situasi berbahaya.

Bagaimanapun Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan Noor Sherriyana Bohari membuktikan sebaliknya, bahawa kaum wanita juga berkeupayaan, gigih dalam kerjayanya, dan mampu melakukan apa sahaja diimpikan di bumi Malaysia bertuah ini dengan semangat ‘jiwa merdeka’.

Sebalik perwatakan dan tutur kata yang lemah lembut dengan tudung kemas menghiasi pakaian seragam biru gelap jabatan itu Noor Sherriyana, 39, pantas dan cergas melakukan tugas sebagai seorang anggota bomba, malah berkeupayaan mentadbir BBP Putatan yang mempunyai 32 pegawai dan anggota.

Bermula sebagai seorang pelukis pelan di Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Noor Sherriyana kemudian menukar kerjaya, menjadi anggota bomba pada 2 Mei 2011, dan seterusnya dilantik sebagai Ketua BBP Putatan 20 Julai lepas.

Wanita berasal dari Putatan itu berkata pada awalnya tidak terlintas dalam fikirannya untuk menjadi anggota bomba, tetapi selepas mendapat pendedahan kepada kerjaya itu ketika bertugas di JKR Sabah selama setahun, ia telah memupuk minat beliau untuk menjadi anggota bomba.

“Pada mulanya saya ingat kerja bomba hanya memadam api, tetapi rupanya banyak lagi tugas-tugas lain, bermula dari pelaksanaan penguatkuasaan bangunan, penyiasatan kebakaran sehinggalah kes-kes pendakwaan, dan dari situ terus timbul minat untuk sertai bomba,” katanya kepada Bernama.

Noor Sherriyana yang  juga ibu kepada seorang cahaya mata pernah ditempatkan di beberapa jabatan antaranya Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Negeri Sabah, Pusat Gerakan Operasi Negeri Sabah, Bahagian Keselamatan Kebakaran, dan Bahagian Keselamatan Kebakaran Zon 1 Sabah.

Mengenai tugasnya sebagai ketua balai dan pada masa sama sebagai seorang ibu, beliau berkata ia sememangnya bukan mudah membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga kerana perlu sentiasa bersiap sedia setiap masa, malah ada ketikanya perlu ke luar daerah atas tuntutan kerja. 

“Contohnya waktu pagi masuk pejabat bekerja seperti biasa (di sini) tetapi sebelah petang pula perlu berada di Tawau kerana tugas-tugas khas yang mendesak. Di situlah cabaran bagaimana saya perlu menguruskan hal rumahtangga dan keluarga,” katanya sambil melahirkan kesyukuran kerana keluarga sentiasa memahami dan memberikan sokongan kerjayanya.

Memiliki Diploma Mekanikal Kejuruteraan dari International University College of Technology Twintech, Kuala Lumpur, Noor Sherriyana berkata kerjaya sebagai anggota bomba semuanya ada cabaran tersendiri, apatah lagi apabila menjadi antara pasukan beruniform yang berada di barisan hadapan di saat-saat genting.

Namun beliau berpegang dengan kata-kata "jadilah wanita yang sentiasa cemerlang dalam semua perkara dan menghargai orang lain" menjadi penguat semangat dalam kerjayanya.  

"Berdepan dengan ekspektasi masyarakat yang terlalu tinggi terhadap pasukan bomba terutamanya apabila berlaku sesuatu kejadian seperti musim kemarau, banjir dan kebakaran rumah adalah antara cabaran yang sentiasa dihadapi kerana kami perlu memberi bantuan secepat mungkin," katanya. 

Noor Sherriyana bagaimanapun berkata berkata kerjasama dan semangat berpasukan, segala tugasan dan tanggungjawab dipikul bersama seramai 32 anggota di BBP Putatan.

BBP Putatan yang dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 25 Julai lepas, merupakan BBP yang kedua di Sabah diketuai oleh seorang wanita selepas BBP Jalan Lintas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan