AM > BERITA

Transisi Kepada Penggunaan 5G Di Malaysia Dijangka Matang Dalam 10 Hingga 15 Tahun

05/09/2024 10:40 AM

SEPANG, 5 Sept (Bernama) -- Proses transisi kepada penggunaan teknologi 5G di Malaysia dijangka matang sepenuhnya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, kata pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Azizul Azizan.

Beliau berkata pelbagai faktor menyumbang ke arah proses kematangan berkenaan termasuk ekosistem pembuatan dan penghasilan peralatan berkaitan teknologi 5G dan tahap penerimaan masyarakat.

“Transisi hanya akan berlaku apabila masyarakat membeli dan menggunakan peralatan (5G) di rumah atau di tempat kerja. Selagi peralatan di tempat kerja, rumah atau tiada 5G, selagi itulah kita tidak gunakan 100 peratus kemampuan teknologi itu,” katanya kepada Bernama di luar persidangan Research Symposium 2024 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini semalam.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching pada 3 Julai lepas dilaporkan berkata capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk negara kini mencapai tahap 81.7 peratus dengan siapnya 7,114 tapak 5G di seluruh negara setakat ini.

Teo berkata pembinaan rangkaian 5G tertumpu di kawasan bandar yang mempunyai aktiviti ekonomi tinggi, manakala peluasan ke kawasan lain termasuk luar bandar telah dimulakan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Azizul berpandangan, China dilihat ‘menguasai’ adaptasi 5G secara meluas mengatasi Eropah dan Amerika Syarikat pada masa ini disebabkan rangsangan ekosistem penghasilan peranti pintar termasuk dalam bidang semikonduktor di republik itu.

“..kita perlu sedar bahawa 5G kini fokus kepada sektor industri, peralatan, robot dan sebagainya dan tidak macam 3G atau 4G yang fokus sasarannya adalah manusia sahaja dan bukan terhadap objek.

“Cuma kajian mengenai 6G (di global) telah bermula, jadi saya fikir 5G mungkin tidak sempat kita gunakan sepenuhnya (di Malaysia) dan kita pindah kepada 6G yang akan diadaptasi oleh masyarakat,” katanya.

Pensyarah di Fakulti Kecerdasan Buatan itu bagaimanapun menjelaskan penyedia rangkaian mempunyai tanggungjawab besar dalam menangani isu transisi penggunaan 5G agar kemampuan teknologi itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya selari dengan hasrat Kerajaan memacu aspek digital negara.

“Tidak semua teknologi sempurna, jadi penyedia rangkaian perlu sentiasa peka dengan keperluan pengguna,” katanya.

Simposium Penyelidikan 2024 anjuran MCMC itu mengetengahkan hasil daripada 10 projek penyelidikan yang dibiayai oleh Geran Penyelidikan Masyarakat Digital (DSRG) yang dijalankan oleh Kohort 1 dan Kohort 2 Tahun 2023.

Seramai 230 pihak berkepentingan dari pelbagai sektor antaranya komunikasi dan multimedia, pengamal industri, wakil kerajaan, ahli akademik, dan aktivis telah menghadiri simposium yang bertemakan 'Advancing the Digital Ecosystem through Sustainable Connectivity.’

Selain Azizul, Dr Thanuja Rathakrishnan dari Taylor's University dan Dr Suthashini Subramaniam dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) turut berkongsi pandangan mereka dalam sesi panel bertajuk ‘Sustainable Connectivity: Advancing Digital Frontiers’ yang merupakan platform bagi membincangkan penilaian 5G dalam industri pintar dan menilai impak pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan