AM > BERITA

Lima ADUN Lantikan Pahang Angkat Sumpah

05/09/2024 11:42 AM

KUANTAN, 5 Sept (Bernama) -- Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Mereka terdiri daripada Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari, Ketua MCA Bahagian Temerloh Datuk Wong Tat Chee, Ketua UMNO Bahagian Jerantut Haris Salleh Hamzah, Pengerusi Amanah Pahang Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang Rizal Jamin. 

Pada Nov 2020 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang telah meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima ADUN tanpa melalui proses pilihan raya, dan pada persidangan 13 Mei lepas, pelantikan lima ADUN itu mendapat sokongan majoriti mudah selepas usul berkenaan dicadangkan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong tujuh ADUN Pahang.

Majlis angkat sumpah diadakan di hadapan Speaker DUN Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dengan disaksikan Wan Rosdy dan ADUN lain. 

Mohd Sharkar ketika merakamkan ucapan tahniah kepada lima ADUN berkenaan berkata pelantikan itu bertujuan membantu visi dan misi kerajaan negeri dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan kepada rakyat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan