AM > BERITA

Rakyat Palestin Terima Rawatan Berkualiti Di HAT Tuanku Mizan

05/09/2024 11:24 AM

Oleh Mohd Firdaus Md Saisi

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Rakyat Palestin ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini diberikan rawatan perubatan berkualiti mengikut piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lt Jen Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Beliau berkata seramai 60 petugas kesihatan terdiri doktor, jururawat dan pembantu perubatan bertugas sepanjang masa bagi memastikan rakyat Palestin yang berada di HAT Tuanku Mizan menerima rawatan sebaik mungkin untuk memastikan mereka sembuh daripada kecederaan dialami. 

Daripada 41 rakyat Palestin yang cedera dan menerima rawatan di hospital berkenaan, 11 kes memerlukan pembedahan ortopedik termasuk empat yang perlu kerjasama doktor pakar daripada Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya selain khidmat nasihat dalam bidang nefrologi dari Hospital Kuala Lumpur. 

Beliau berkata pihaknya berjaya melaksanakan pembedahan bagi implan orbital terhadap seorang pesakit kanak-kanak yang kehilangan anggota keluarga dan kini sedang menunggu untuk penyesuaian mata palsu.

"Terdapat juga dua pesakit memerlukan pembetulan bibir serta lelangit dan dua pesakit yang memerlukan pemasangan kaki palsu," kata Dr Zulkeffeli pada sesi lawatan khas bersama media di hospital berkenaan baru-baru ini.

Turut hadir Komander Misi Perawatan Palestin berkenaan Brig Jen Dr Mohd Mansor Sharif dan Ketua Penyelia Jururawat Markas HAT Tuanku Mizan Nursyida Jamaludin.

Mengulas lanjut, Dr Zulkeffeli berkata pihaknya melakukan persediaan awal sebelum menerima pesakit Palestin bagi memudahkan persiapan dari segi jenis rawatan yang diperlukan, pelantikan pakar-pakar dan hubungan kerjasama dengan pusat perubatan yang lain. 

"Pasukan peninjau yang terdiri doktor pakar daripada ATM yang dihantar lebih awal ke sana juga banyak membantu terutama dari segi memastikan laporan perubatan pesakit yang akan dibawa ke sini adalah tepat.

"Laporan perubatan yang kami terima pada peringkat awal adalah daripada bahasa Arab sebelum diterjemahkan ke Bahasa Inggeris kemudian ke Bahasa Melayu, jadi memang akan ada perkara yang tertinggal dalam proses penterjemahan itu dan pasukan ini akan memastikan diagnosis dilaporkan adalah sama," katanya.

Dalam pada itu, Dr Zulkeffeli berkata selain memastikan rawatan terhadap kecederaan yang dialami rakyat Palestin dijalankan sebaik mungkin, pihaknya juga menyediakan khidmat kaunseling bagi memastikan psikologi pesakit warga Palestin itu diberikan perhatian.

Beliau berkata pihaknya memberikan persekitaran selesa agar rakyat Palestin yang menerima rawatan di HAT Tuanku Mizam dapat menyesuaikan diri dengan baik selain mendapatkan bantuan daripada petugas di Kedutaan Palestin untuk memudahkan urusan komunikasi antara pesakit dan doktor.

"Alhamdulillah perbincangan dari hari ke hari,  mereka semakin selesa menerima rawatan di sini dan tidak timbul kebimbangan mengenai apa-apa perkara," katanya sambil menambah rata-rata yang dirawat menghargai tindakan Malaysia memberikan rawatan perubatan kepada mereka. 

Pada 16 Ogos lepas 41 pesakit warga Palestin yang terjejas akibat konflik dengan Israel bersama 86 waris mereka tiba di Pangkalan Udara Subang dekat sini dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir menaiki dua pesawat A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia.

Sementara itu, Nursyida berkata petugas yang menjaga pesakit warga Palestin menggunakan pelbagai kaedah bagi berkomunikasi dan mendapatkan kepercayaan pesakit.

Beliau berkata antara kaedah komunikasi yang digunakan termasuk aplikasi penterjemahan bahasa seperti Google Translate, bahasa isyarat dan mimik muka untuk bertanyakan khabar dan mengetahui sama ada sudah makan ubat atau belum.

Nursyida berkata rata-rata pesakit warga Palestin itu telah melalui situasi peperangan yang panjang sebelum dibawa ke Malaysia dan ini membuatkan mereka sukar untuk mempercayai orang asing selain kurang memahami bahasa Inggeris.

"Pada peringkat awal berada di sini, mereka amat risau akan keselamatan terutama melibatkan anak-anak. Jika sebelum ini si ibu tidak akan meninggalkan anak bersendirian di wad tetapi kini mereka berani berbuat demikian jika perlu menyelesaikan urusan seperti membasuh baju atau apa-apa urusan di rumah transit.

"Selepas tiga minggu (di HAT Tuanku Mizan), kami di sini seperti keluarga dan mereka memahami bahawa rakyat Malaysia ikhlas membantu," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan