AM > BERITA

Lebih 100,000 Usahawan Sertai Shopee Tahun Ini

05/09/2024 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Jumlah usahawan yang menyertai ekosistem Shopee pada tahun ini meningkat kepada lebih 100,000 orang, hasil kajian ‘Sayangi Malaysia, Jom Rai Lokal 2024’ yang dilaksanakan oleh platform e-dagang itu. 

Shopee dalam kenyataan memaklumkan peningkatan ketara itu menunjukkan penerimaan semakin meningkat terhadap e-dagang sebagai model perniagaan penting dan mampan dalam pasaran digital yang semakin pesat.

Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata peningkatan penyertaan itu menunjukkan usahawan tempatan semakin terbuka dengan peluang digital dan Shopee kekal komited memainkan peranan dalam membantu usahawan meluaskan peluang perniagaan mereka.

“Shopee kekal komited untuk menyediakan perniagaan tempatan dengan sumber penting termasuk program Penyelesaian Pemasaran Affiliate, perkhidmatan logistik pihak ketiga dan Shopee Live untuk berkembang maju dalam landskap e-dagang yang kompetitif.

“Kami berbangga memainkan peranan dalam perjalanan perniagaan tempatan untuk meluaskan jangkauan, mengoptimumkan operasi dan mencapai pertumbuhan dalam ekonomi yang sentiasa berubah ini,” katanya. 

Kajian itu turut mendapati Shopee Live mencatat peningkatan sebanyak 113 peratus penjual baharu yang menjalankan penstriman langsung tahun ini, sekali gus menunjukkan kepentingan Shopee Live sebagai platform pilihan utama rakyat Malaysia untuk perdagangan secara langsung.

Penggunaan Shopee Live sebagai strategi perniagaan utama dapat dilihat apabila lebih 1.4 juta penstriman langsung dijalankan oleh penjual tempatan dengan 27 juta komen unik daripada pelanggan diterima tahun ini.

Shopee memaklumkan penjual tempatan mengiktiraf ciri interaktif Shopee Live yang memudahkan mereka untuk berinteraksi secara langsung dengan pelanggan serta membolehkan mereka membina hubungan yang lebih kukuh dan berkekalan. 

“Kemudahan untuk menggunakan platform ini dengan mekanisme maklum balas secara langsung terbukti penting untuk membantu perniagaan menonjol dalam pasaran yang kompetitif, mencipta hubungan bermakna dengan pelanggan dan mencapai penonton dari seluruh negara,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Pengasas jenama penjagaan rambut Petals Malaysia, Khairul Azman berkata Shopee memberikan akses luas kepada khalayak dalam talian dan memperluaskan jangkauan pasaran dengan ketara berbanding pasaran mereka sebelum itu yang terhad kepada kedai runcit.

“Shopee Live juga telah mengubah cara kami berinteraksi dengan pelanggan. Melalui strim langsung, kami berinteraksi dan menjawab soalan mereka secara langsung dan mempamerkan produk kami dengan lebih berkesan. Interaksi mudah dan pantas ini membina kepercayaan dan mendorong pembelian.

“Kami juga menggunakan ciri ‘polls’ dan sesi soal jawab untuk menggalakkan keterlibatan penonton, mengumpul maklum balas, dan mempertingkatkan pengalaman membeli-belah secara keseluruhan.

Kajian itu juga mendapati terdapat 65 peratus peningkatan penjual Shopee Live dari Pantai Timur yang mencerminkan komitmen Shopee untuk membantu usahawan terutamanya dari kawasan luar bandar untuk berkembang dalam e-dagang.

Selain itu, 500 perusahaan tempatan cemerlang di Shopee telah mencapai purata pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 50 peratus tahun ini, menunjukkan keberkesanan platform e-dagang itu dalam memacu perkembangan perniagaan.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan