AM > BERITA

Polis Teliti Kewangan Syarikat Dikaitkan Kes Pemerdagangan Manusia Di Myanmar - KPN

05/09/2024 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menganalisis kedudukan kewangan beberapa syarikat yang dikaitkan dengan kegiatan pemerdagangan manusia di Myanmar, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata penelitian itu dibuat susulan laporan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai syarikat tersebut serta beberapa individu dikaitkan dengannya, yang termasuk seorang bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan ahli perniagaan. 

“Pihak polis juga sedang membuat semakan senarai penerbangan dilakukan individu berkenaan bagi melihat pergerakannya ke luar negara, khususnya ke Myanmar sejak 2019,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Razarudin berkata polis telah mengambil keterangan daripada sembilan individu sejak dua hari lepas.

“Kita  juga sedang mendapatkan maklum balas daripada pengarang yang menerbitkan laporan ‘Justice For Myanmar’ untuk dirakam percakapannya secara dalam talian, berkenaan isi kandungan artikel yang diterbitkan,” katanya dan menambah polis juga sedang mengesan dua lagi ahli perniagaan dari China bagi membantu siasatan.

Selasa lepas Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan beberapa dokumen kepada pihak polis untuk membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar, dan Razarudin sebelum itu dilaporkan berkata pihaknya sedang mengesan beberapa penulis artikel dari Indonesia dan seorang lelaki bergelar Datuk Seri untuk diambil keterangan berhubung kes itu.

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan