AM > BERITA

Penjagaan Bayi Bercerai Susu Proses Penting Bagi Memastikan Pertumbuhan Optimum

05/09/2024 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Penjagaan terhadap bayi yang dalam proses ‘bercerai susu’ sangat penting, daripada pemilihan makanan hingga kepada kebimbangan terhadap alahan makanan, bagi memastikan pertumbuhan si kecil yang optimum.

Perunding Pediatrik dan Pakar Gastroenterologi Pediatrik serta Hepatologi Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Dr Ng Ruey Terng berkata keperluan nutrisi bayi mula melebihi bekalan yang ditawarkan oleh susu ibu atau susu formula sekitar usia empat hingga enam bulan.

“Tanda-tanda bayi mungkin sudah bersedia untuk pengambilan makanan pepejal antaranya apabila bayi mampu menegakkan kepala mereka ketika duduk, menunjukkan minat kepada makanan dengan memerhatikan orang lain makan dan membuka mulut apabila diberi makanan.

“Selain itu, jika bayi masih kelihatan lapar sebaik selepas menyusu badan satu formula dan berat badan tidak meningkat seperti diharapkan, ia mungkin masa yang terbaik untuk memperkenalkan makanan tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata makanan tambahan pentinguntuk memastikan pertumbuhan yang optimum dan peralihan kepada makanan pepejal perlu dilakukan secara berperingkat untuk membolehkan bayi beransur-ansur beralih daripada penyusuan ibu dan mengambil diet yang hampir sama dengan ahli keluarga yang lain.

Dr Ng berkata adalah perkara biasa bagi bayi untuk menolak rasa dan tekstur baharu apabila mereka mula makan makanan pepejal, jadi kesabaran dan ketekunan ibu bapa sangat penting dalam tempoh ini. 

“Jangan putus asa jika bayi menolak makanan tertentu. Secara beransur-ansur perkenalkan pelbagai jenis makanan dengan menambah tekstur dan kekerapannya mengikut pertumbuhan serta peningkatan usia bayi,” katanya. 

Beliau berkata saiz hidangan yang sesuai untuk kanak-kanak dapat mendorong penerimaan makanan dan untuk itu hidangkan dalam jumlah lebih kecil berbanding yang sepatutnya untuk orang dewasa, biasanya sekitar suku atau sepertiga daripada hidangan dewasa.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa untuk membiarkan anak meminta lebih banyak makanan sekiranya mereka masih lapar dan jangan membandingkan saiz hidangan anak dengan hidangan mereka kerana saiz hidangan dewasa boleh menjadi terlalu banyak bagi bayi.

“Adalah penting untuk memberikan pelbagai jenis makanan yang kaya dengan nutrien bagi memastikan bayi menerima vitamin dan mineral penting untuk perkembangan yang sihat,” katanya.

Dr Ng berkata garam dan minyak penting dalam makanan bayi meskipun ada yang mengatakan sebaliknya, kerana minyak memberikan tenaga kepada bayi yang sedang membesar dan asid lemak untuk perkembangan mata dan otak.

“Saya bukan kata tambah minyak seperti yang dalam kari atau laksa kita. Cukup hanya sedikit minyak tidak kira apa jenisnya. Tidak perlu berbelanja besar untuk minyak yang khusus. Walau bagaimanapun, jangan tambah gula dalam makanan bayi,” katanya sambil menambah garam adalah sumber mineral yang membantu dalam penghantaran saraf.

Dalam pada itu, beliau berkata memperkenalkan makanan pepejal juga boleh menimbulkan kebimbangan tentang potensi alahan makanan. 

“Bagaimanapun, kajian menunjukkan pengenalan awal terhadap makanan yang lebih cenderung menyebabkan reaksi alergi seperti telur, kacang, tenusu dan makanan laut mengurangkan kemungkinan anak mengalami reaksi alergi. 

“Peraturannya ialah memperkenalkan makanan baharu satu demi satu. Dengan cara ini, jika bayi menunjukkan reaksi yang tidak diingini, ia akan lebih mudah untuk mengenal pasti makanan tertentu yang menyebabkan alergi untuk dimaklumkan kepada pakar pediatrik,” katanya. 

Beliau juga mengingatkan ibu bapa agar memerhatikan tanda-tanda reaksi alergi, yang mungkin termasuk ruam, bengkak, muntah, cirit-birit, kesukaran bernafas atau perubahan warna kulit. 

“Jika melihat simptom ini, berhenti memberi makanan serta-merta dan hubungi pakar pediatrik,” katanya. 

-- BERNAMA

(BM: Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel ini.)


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan