AM > BERITA

Laluan Khas Palapes Sertai ATM, Pertimbang Tebus Pinjaman PTPTN

05/09/2024 03:58 PM

TANJONG MALIM, 5 Sept (Bernama) --- Kementerian Pertahanan akan menyediakan 100 laluan khas setiap tahun kepada graduan anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) universiti awam yang mahu menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai tahun depan. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementerian juga sedang mempertimbangkan untuk menebus sebahagian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) graduan berkenaan.

"Ini bagi kita penuhi usaha menjayakan angkatan untuk masa depan, kita pilih yang terbaik dan layak daripada pelbagai bidang terutama bidang seperti IT (teknologi maklumat) dan bidang kritikal yang lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan Bersama Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini. 

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mewakili Panglima ATM, Pemangku Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Mohamed Khaled berkata pada ketika ini terdapat kira-kira 2,600 anggota Palapes di 20 universiti awam seluruh negara. 

Beliau berkata setiap tahun kementerian akan membuat pengambilan seramai kira-kira 5,000 anggota ATM termasuk kira-kira 500 daripadanya berpangkat pegawai. 

"Selain pengambilan biasa kita juga ambil daripada pelbagai saluran, ada Akademi Laut Malaysia, jadi seramai 100 ini kita ambil daripada Palapes," katanya. 

Sementara itu, dalam ucapannya Mohamed Khaled berkata anggota Palapes sangat diperlukan dalam pasukan pertahanan negara kerana mereka terdiri generasi baharu yang hidup dalam ledakan teknologi, dan ATM sememangnya memerlukan mereka yang memahami dan berminat dengan teknologi bagi memenuhi keperluan termasuk berkaitan sekuriti siber. 

"Kedua, mereka semua mahasiswa golongan pintar dan matang serta kita mahu mereka ini berada dalam pasukan keselamatan negara. 

"Ketiga, mereka semua sudah pun melalui dan menamatkan latihan asas ketenteraan, saya percaya segala latihan yang telah dilalui dengan baik telah membentuk disiplin diri, kemahiran serta pemahaman asas terhadap dunia pertahanan," katanya. 

Sehubungan itu, beliau menyeru anggota Palapes ini meneruskan kerjaya mereka dalam ATM dengan kelebihan yang ada pada diri mereka, dan bukan sekadar memenuhi keperluan kokurikulum di universiti. 

Palapes bukan hanya menjadi pelengkap atau sekadar pasukan simpanan tetapi menggalas tanggungjawab lebih besar dan penting kepada negara. 

"Kerajaan memperuntukkan RM40 juta setahun bagi memastikan keperluan pasukan Palapes berjalan lancar di semua universiti di negara ini," katanya. 

Di majlis sama, Mohamed Khaled turut menyempurnakan upacara pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tauliah Kehormat Askar Wataniah dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM). 

Pangkat itu dipakaikan kepada Naib Canselor Universiti Malaya Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd. Sadullah dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak Prof Dr Ahmad Hata Rasit serta Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan