BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 AM > BERITA

Fahmi Sampaikan Jemputan Rasmi Sambutan Hari Malaysia 2024 Kepada Tun Juhar

05/09/2024 03:53 PM

KOTA KINABALU, 5 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bagi menyampaikan jemputan rasmi sempena sambutan Hari Malaysia 2024 peringkat kebangsaan di Istana Seri Kinabalu, di sini.

Pertemuan yang berlangsung selama kira-kira 30 minit itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata Tun Juhar turut menyampaikan beberapa pandangan bagi memastikan sambutan itu diingati seluruh rakyat Malaysia.

"Kami terima baik saranan dan cadangan Tun Juhar. Insya-Allah, kita akan berusaha melaksanakannya.

"Sambutan Hari Malaysia mengingatkan kita peri pentingnya keterlibatan seluruh rakyat Malaysia dalam satu semangat patriotisme untuk memaknai pembentukan Malaysia. Hari ini, saya dan Datuk Christina akan melawat tapak bagi melihat tahap persediaan (sambutan Hari Malaysia), setakat ini, kami percaya segala persiapan berjalan dengan baik dan lancar," katanya.

Fahmi berharap agar sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini dapat diraikan dalam semangat cintakan negara.

Beliau turut menjangkakan ramai masyarakat hadir meraikan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka Kota Kinabalu yang menyajikan pelbagai acara menarik termasuk pertunjukan bunga api serta persembahan artis tempatan.

"Kita akan sediakan skrin besar untuk tontonan ramai. (Pada hari) itu juga (adalah) permulaan cuti sekolah, jadi kita jangka ramai akan berada di Sabah," katanya.

Beliau berkata bagi sambutan Hari Malaysia, 3,000 jemputan rasmi diedarkan, dan sambutan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan