AM > BERITA

Insiden Tanah Jerlus Insiden Terpencil - Nga

05/09/2024 04:01 PM

JOHOR BAHRU, 5 Sept (Bernama) -- Insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India baru-baru ini merupakan insiden terpencil dan tidak seharusnya menggambarkan seolah-olah negara ini, khususnya Kuala Lumpur, tidak selamat didiami.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata struktur bangunan didirikan di negara ini adalah selamat mengikut standard yang tinggi dan pemetaan utiliti bawah tanah mengikut koridor utiliti negeri turut dijalankan sepanjang masa secara berfasa.

“Memang banyak negeri, contohnya Johor sudah ada Koridor Utiliti Johor manakala Perak pula Koridor Utiliti Darul Ridzuan dan kesemua pemetaan ini memang dijalankan sepanjang masa mengikut fasa dan ia penting dilaksana.

“Justeru itu, Malaysia dan Kuala Lumpur khususnya adalah selamat, jadi jangan kerana insiden terpencil ini (tanah jerlus), olah-olah negara kita tidak selamat untuk didiami, itu tidak betul,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Residensi Pelangi Indah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan pemetaan utiliti bawah tanah susulan insiden tanah jerlus itu.

Nga berkata rancangan bagi bangunan yang bertingkat atau strata juga perlu mendapat kebenaran dari pakar.

“Sebenarnya bangunan yang bertingkat atau strata ini sebelum mendapat kebenaran merancang, ia juga mesti mendapatkan ‘laporan geosains dan teknikal’. 

“Ini antara keperluan untuk pembangunan hartanah strata. Jadi, apabila pakar sudah sahkan selamat, baru boleh bagi perintah pembangunan,” katanya.

Nga sebelum ini dilaporkan berkata kementeriannya mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan, agensi terlibat serta syarikat utiliti turut bekerjasama melaksanakan pemetaan utiliti bawah tanah.

Beliau berkata KPKT sentiasa bersikap terbuka dan sedia bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya dan pelbagai agensi terlibat supaya mempunyai pemetaan utiliti atau kemudahan di bawah tanah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pada Sabtu lepas mengumumkan operasi SAR (search and recovery) wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, yang hilang akibat terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos dihentikan selepas sembilan hari dilaksanakan.

-- BERNAMA

 

 


NFMK KAI ZHR


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan