AM > BERITA

Jangan Tinjau, Buat Kandungan Media Sosial Di Kawasan Tanah Jerlus - Polis

05/09/2024 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan amaran kepada orang awam supaya tidak menghampiri, meninjau dan membuat kandungan untuk media sosial di kawasan tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata beliau telah mengarahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk menempatkan anggota berkawal di kawasan terbabit supaya kerja-kerja agensi lain tidak terganggu.

“Kita tidak mahu orang ramai pergi meninjau dan buat kandungan Tik Tok di kawasan tanah jerlus terbabit, kalau boleh jauhi terus tempat itu.

“Lubang di kawasan itu kira-kira sedalam lapan hingga 10 meter. Lebih baik kita ingatkan orang ramai bahawa tempat ini masih dalam kawalan pihak polis dan jangan bahayakan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam insiden pada 23 Ogos lepas, seorang pelancong dari India G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh akibat tanah jerlus.

Operasi mencari dan menyelamat wanita warga India terbabit bermula sejak 23 Ogos dan ditamatkan sembilan hari kemudian selepas kerajaan mengkaji semula laporan daripada semua agensi berkaitan operasi SAR.

Berhubung isu tanah runtuh di Wangsa Maju, Rusdi berkata kerja ujian tanah sedang dibuat sebelum proses memasang cerucuk dilakukan di sepanjang tebing yang terlibat.

“Sebelum ini pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah keluarkan notis kepada 14 rumah terlibat untuk dikosongkan manakala tiga rumah boleh diduduki,” katanya.

Sebelum ini, seramai 52 penghuni di 17 unit kediaman rumah teres yang terletak di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang-Kem Wardieburn di sini diarahkan berpindah susulan tanah runtuh yang berlaku pada 22 Ogos lepas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan