AM > BERITA

Jambatan Uzur Diganti Baharu, 10,000 Penduduk Kluang Bakal Terima Manfaat

05/09/2024 04:45 PM

KLUANG, 5 Sept (Bernama) -- Pembinaan jambatan baharu di Kampung Baru Seri Tengah di sini, dengan peruntukan RM9.3 juta menggantikan jambatan sedia ada yang telah uzur, bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk sekitar.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jambatan yang ada sekarang ini juga agak sempit dan kerja naik taraf berkenaan, akan melibatkan pembinaan menjadi dua lorong berbanding hanya satu lorong ketika ini.

Beliau berkata naik taraf tersebut yang mengikut spesifikasi piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R2 itu, kini di peringkat kerja ukur, dan tender dijadual diiklankan pada bulan Februari 2025, kemudian disusuli dengan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) pada Jun 2025.

“Kepesatan pembangunan di daerah Kluang telah meningkatkan bilangan jumlah dan aliran trafik, seterusnya menyebabkan kesesakan pada jalan utama di sini.

“Kesannya termasuklah penduduk tempatan perlu menggunakan jalan alternatif di kawasan perumahan dan salah satunya ialah jalan J249 (Jalan Kampung Baru Seri Tengah) yang menghubungkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan DUN Paloh,” katanya kepada pemberita selepas program verifikasi kerja ukur pembinaan jambatan baru berkenaan di sini hari ini.

Ahmad berkata jambatan yang turut menjadi laluan utama penduduk kampung untuk ke bandar Kluang itu, akan menjadi sesak pada waktu puncak kerana terdapatnya beberapa kemudahan seperti masjid, sekolah dan juga tadika.

Beliau berkata lalu lintas akan menjadi lambat dan sesak kerana jambatan sedia ada sememangnya sempit, dengan kelebaran hanya 4.6 meter yang hanya muat untuk satu kenderaan dalam satu-satu masa.

“Hanya kenderaan dari satu arah sahaja boleh menggunakan jambatan ini dan kenderaan dari arah bertentangan perlu berhenti memberikan laluan.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa peka dan cakna akan situasi semasa sama ada berdasarkan cerapan dan pemantauan pejabat JKR setempat, mahupun dari maklum balas Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan rakyat. 

“Kementerian berharap pasukan pengurus projek dapat merealisasikan pelaksanaan projek berimpak kepada Rakyat MADANI di Kluang ini, selaras dengan hasrat program MYJalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan