AM > BERITA

MAB Perlu Ambil Langkah Drastik Tarik Minat Pekerja Mahir Baharu - Loke

05/09/2024 05:43 PM

PUTRAJAYA, 5 Sept (Bernama) -- Malaysia Airlines Bhd (MAB) perlu memastikan anak syarikatnya MAB Engineering Services mengambil langkah drastik untuk menarik minat pekerja mahir baharu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata program latihan perlu diperbanyak dan memastikan pakej pekerjaan dengan gaji setimpal ditawarkan dalam usaha menarik pekerja mahir.

Beliau berkata syarikat penerbangan mesti mengambil langkah memastikan mereka mampu mengekalkan atau menarik minat pekerja baharu.

"Pekerja mendapat gaji  lebih tinggi sudah tentu mereka ada pilihan lebih baik. Tapi kalau dalam konteks positif ia menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi," katanya selepas melancarkan Malaysia Aviation Decarbonisation Blueprint (MADB) di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai insiden pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan ke Korea Selatan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 2 Sept lepas, Loke berkata perkara ini masih dalam siasatan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Beliau mengulangi sekali lagi keputusan berpatah balik adalah kerana keselamatan penumpang menjadi keutamaan syarikat penerbangan itu malah langkah drastik diambil termasuk mengurangkan  penerbangan supaya ada ruang pesawat dihantar untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Insiden itu tidak menjejaskan sektor penerbangan negara memandangkan jumlah penerbangan, pesawat dan penumpang terus meningkat bulan ke bulan.

Beliau berkata pada tahun ini jumlah pergerakan penumpang negara meningkat dua digit setiap bulan berbanding tahun lepas dan dijangka mencapai antara 95 hingga 105 juta manakala tahun hadapan mampu kembali kepada keadaan sebelum COVID-19.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata insiden kanak-kanak bawah umur yang memandu bukan kali pertama berlaku malah tindakan itu membahayakan pengguna jalan raya lain.

Beliau berkata ibu bapa harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya kerana lalai dengan membenarkan anak-anak membawa kenderaan tanpa pengetahuan.

Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikesan memandu sebuah kereta milik ibu bapanya sehingga mengakibatkan kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, Seremban.  

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan