AM > BERITA

Pemeriksaan JAS Temukan Bungkusan Di Tebing Anak Sungai Pandan

05/09/2024 06:55 PM

JOHOR BAHRU, 5 Sept (Bernama) -- Pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor berikutan kes pencemaran bau kimia, mengesan sejumlah bungkusan yang tidak dikenal pasti dibuang di tebing anak Sungai Pandan berhampiran Taman Daya, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata pihak JAS telah mengambil sampel daripada bungkusan yang ditemukan pukul 10 pagi itu dan menghantarnya ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Bau yang sama seperti yang terjadi di Kampung Melayu Pandan dua hari lepas masih dapat dihidu di kawasan tersebut. JAS telah memasang garisan keselamatan di lokasi dan sedang mengukur kualiti udara di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ling berkata JAS memandang serius insiden pencemaran bau kimia itu dan akan terus menjalankan operasi pemeriksaan di sekitar Sungai Pandan dan anak sungainya, untuk mencari punca pencemaran.

“Sekiranya sesiapa melihat individu yang membuang sisa industri atau bahan kimia secara haram, sila laporkan segera kepada JAS. Saya juga mengecam tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang membuang bahan atau sisa tanpa pengendalian profesional.

“Syarikat atau individu yang dengan sengaja membuang bahan kimia boleh didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar (Pindaan) 2024, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda tidak lebih RM10 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa penduduk di sekitar Taman Daya, Taman Istimewa dan Taman Mount Austin mengadu pening dan loya, setelah terhidu bau kimia d kawasan rumah masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan