AM > BERITA

UKMSC Tinjau Prospek Antarabangsa Di Indonesia

05/09/2024 07:42 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMSC) sedang meninjau prospek antarabangsa terutamanya Indonesia bagi menjalinkan kerjasama dalam penggunaan teknologi dan tenaga pakar.

Ketua Pegawai Operasi UKMSC Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata kerjasama itu adalah bagi memberi kemudahan kepada pesakit dari negara berkenaan untuk mendapatkan rawatan di Malaysia.

Beliau berkata bagi tujuan itu satu perjumpaan bersama beberapa rakan strategik di Indonesia diadakan baru-baru ini, selain pertemuan dengan Pengarah Rumah Sakit Royal Prima Medan bagi kerjasama dalam perkhidmatan kesihatan seperti rawatan kesuburan, tumor dan rawatan menggunakan teknologi sinaran Gamma Knife.

“UKMSC teruja untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuan kepakaran serta terbuka untuk menerima sebarang potensi perniagaan yang boleh memberikan kelebihan kepada kedua-dua belah pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengarah Perubatan UKMSC Prof Madya Datuk Dr Badrul Akmal Hisham Md Yusoff dalam kenyataan sama berkata ke arah usaha itu, UKMSC turut menjalinkan kerjasama dengan Malaysia Airlines Indonesia, CIMB Niaga Syariah Indonesia, My 1 Care dan SOMPO Insurance Indonesia.

Beliau berkata pesakit yang mendapatkan rawatan di UKMSC boleh menggunakan pakej khas penerbangan pergi dan balik menaiki pesawat menerusi kerjasama dengan Malaysia Airlines Indonesia selain kemudahan pembiayaan rawatan kesihatan melalui kad kredit dan kemudahan pembayaran secara dalam talian melalui kerjasama dengan CIMB Niaga Syariah Indonesia.

“Dalam mengurangkan beban pesakit, pihak syarikat My 1 Care juga menawarkan kemudahan penginapan dan pengangkutan pesakit sebelum dan semasa berada di Malaysia serta setibanya semula di Indonesia.

"Ini dapat memberikan pengalaman dan bantuan daripada pelbagai aspek kemudahan kepada pesakit semasa proses menghadirkan diri untuk mendapatkan rawatan di UKMSC di Kuala Lumpur,” kata Dr Badrul Akmal Hisham.

Selain itu perkhidmatan caruman SOMPO Insurance Indonesia juga turut ditawarkan kepada pesakit untuk urusan pembayaran sepanjang proses mendapatkan rawatan di UKMSC.

Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz Datuk Dr Azmi Baharudin pula berkata kerjasama itu  membantu peralihan dan perkongsian ilmu teknologi perubatan moden antara kedua-dua buah negara.

“Ikatan rakan strategik ini dijangka mampu meningkatkan pencapaian UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) bukan sahaja dari sudut pendidikan semata-mata malah dari sudut perubatan juga turut diperkukuhkan” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan