BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 AM > BERITA

Yayasan Rythm Kekal Komited Laksana Program Pendidikan Untuk Memperkasakan Komuniti

05/09/2024 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Yayasan RYTHM, inisiatif impak sosial Kumpulan Qi, kekal komited dan aktif dalam melaksanakan program untuk memperkasakan mereka yang memerlukan, khususnya dalam bidang pendidikan, kerana aspek ini dianggap penting untuk pembangunan sesebuah komuniti.

Ketua Yayasan RYTHM Santhi Periasamy berkata yayasan itu memberi tumpuan pada pemberian bantuan kepada mereka yang memerlukan sokongan pendidikan terutamanya kanak-kanak yang menghadapi kesukaran mendapatkan pendidikan seperti kumpulan B40, tinggal di kawasan terpencil dan kanak-kanak Orang Asli.

"Satu perkara yang anda boleh bangunkan mana-mana komuniti adalah melalui pendidikan kerana tanpa pendidikan, tiada komuniti yang mampu bertahan. Pendidikan adalah satu-satunya laluan dan hanya jawapan kepada pembangunan.

"Sangat menyedihkan apabila mengetahui ramai masyarakat di dunia, di Malaysia (juga), dinafikan kesaksamaan dalam pendidikan. Terdapat begitu banyak perkara yang boleh dilakukan melalui pendidikan dalam pelbagai kaedah dan pendekatan yang dilakukan oleh Yayasan RYTHM.

"Sebagai contoh, kami mempunyai sebuah sekolah (di bawah yayasan) di Petaling Jaya untuk keperluan khas dan kami melakukan banyak perkara untuk pendidikan atau kanak-kanak Orang Asli di Malaysia," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi minum petang Yayasan RYTHM bersama media, di sini baru-baru ini.

Dari segi membantu pendidikan untuk kanak-kanak Orang Asli, Santhi berkata lebih 100 pelajar daripada kumpulan etnik itu meliputi kawasan di Sabah dan Pahang mendapat manfaat daripada program pendidikan yang dilaksanakan Yayasan RYTHM.

"Program pendidikan untuk kanak-kanak Orang Asli di Sabah dan Pahang masing-masing bermula pada 2021 dan 2022. Dijangkakan menjelang akhir September tahun ini, kami akan melancarkan program pendidikan serupa di Kedah," tambah beliau.

Selain memberi tumpuan kepada pendidikan, beliau berkata Yayasan RYTHM juga menekankan pemerkasaan belia, khususnya remaja perempuan daripada keluarga kurang bernasib baik dengan menambah kemahiran dalam pelbagai bidang untuk membantu meningkatkan kehidupan mereka.

Beliau berkata antara inisiatif itu ialah Program Sekolah Maharani (MSP) yang bertujuan menyediakan sokongan akademik dan pembangunan peribadi untuk remaja perempuan bagi membantu membina keyakinan diri, kemahiran kepimpinan dan merealisasikan potensi mereka.

"Program ini berkembang perlahan-lahan sejak kira-kira satu setengah dekad yang lalu… kami pergi ke sekolah dan menjalankan program ini untuk memperkasakan gadis-gadis ini melalui program kepimpinan kami dan hari ini, kami juga mempunyai makmal di Damansara Damai dan kami memberi tumpuan kepada kemahiran IT, insaniah, kepimpinan dan mendedahkan mereka kepada peluang kerjaya," katanya.

MSP yang diperkenalkan pada 2010 telah memberi kesan kepada lebih 8,000 pelajar. Program holistik ini direka untuk remaja berumur 13 hingga 17 tahun, dengan keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga B40.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan