AM > BERITA

Bilangan PMKS Menurun Pada 2023 Kerana Beralih Menjadi Pemain Besar - Ahmad Zahid

05/09/2024 07:55 PM

PUTRAJAYA, 5 Sept (Bernama) -- Bilangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menurun kepada 1,101,725 pada 2023 berbanding 1,173,601 pada 2022, yang sebahagiannya disebabkan peralihan PMKS menjadi pemain besar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata daripada segi pecahan, PMKS mengikut saiz perniagaan, firma bersaiz kecil mengalami pertumbuhan yang sangat menggalakkan bilangan pertubuhan, dengan peningkatan tahunan sebanyak 35.8 peratus, manakala firma bersaiz sederhana meningkat sebanyak 7.9 peratus berbanding 2022.

“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan inisiatif kerajaan dalam membangunkan atau scale-up PMKS sepanjang tahun. Secara ringkasnya, perusahaan mikro meliputi 69.7 peratus daripada jumlah pertubuhan PMKS pada tahun 2023, firma bersaiz kecil mencakupi 28.5 peratus dan firma bersaiz sederhana membentuk baki 1.8 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ahmad Zahid mempengerusikan Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) Bilangan 2 Tahun 2024 hari ini di Putrajaya, yang turut dihadiri Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan, Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Sabah dan Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan pegawai kanan kementerian.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai kertas Kedudukan Malaysia dalam World Competitiveness Ranking (WCR) dan kesan kepada PMKS oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Berdasarkan laporan WCR, kedudukan Malaysia telah menurun ke kedudukan 34 pada tahun 2024 dan hasil penelitian mendapati kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan cabaran dalam mengekalkan bakat, telah memberi impak langsung kepada kecekapan PMKS dalam memenuhi piawaian antarabangsa.

Justeru, Ahmad Zahid berkata tindakan penambahbaikan telah diambil, termasuk dengan menjalin hubungan strategik dengan Institute for Management Development (IMD) untuk mendapatkan pandangan dan bimbingan dalam memperbaiki kedudukan daya saing Malaysia, serta pelaksanaan analisis mikro ke atas petunjuk daya saing bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh diperbaiki.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui MPC, menyelaras pembangunan pelan tindakan bagi meningkatkan daya saing negara (Julai-Ogos 2024), manakala Jawatankuasa Daya Saing Negara memantau pencapaian pelan tindakan itu bermula September,” kata beliau.

Selain itu, tiga kertas pembentangan turut dibincangkan dan dimaklumkan dalam mesyuarat berkenaan, antaranya Pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) 2023/2024 dan kertas Prestasi PMKS Tahun 2023 dan Analisis Situasi Tahun 2024 oleh SME Corporation Malaysia.

Perbincangan itu memberi tumpuan kepada program keusahawanan dan pembangunan PMKS Tahun 2024 iaitu sehingga Ogos 2024, terdapat sebanyak 307 program sedang dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM16.77 bilion bagi tahun 2024.

Ahmad Zahid berkata perbincangan meliputi tumpuan pembangunan PMKS dalam jangka masa terdekat seperti memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan pelaburan asing, mempromosikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memperhebat kerjasama triple-helix antara sektor awam, swasta dan Institut Pengajian Tinggi (IPTA) dan memperhebat aktiviti keusahawanan di Sabah dan Sarawak.

Pembentangan ketiga pula mengenai kertas Memangkin Akses bagi PMKS dan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTC) ke Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju 5 Tahun (2024-2028) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, bertujuan memastikan pasaran modal menjadi sumber pembiayaan yang lebih menarik dan teguh bagi PMKS dan MTC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan