AM > BERITA

Pameran Raja Kita Peringkat Sarawak Secara 3D

05/09/2024 08:13 PM

KOTA SAMARAHAN, 5 Sept (Bernama) -- Orang ramai khususnya rakyat Bumi Kenyalang berpeluang menyaksikan Pameran Raja Kita dalam bentuk digital 3D sempena sambutan rasmi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-17 peringkat Sarawak, bermula hari ini hingga 8 Sept.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata meskipun pameran itu tidak mempamerkan koleksi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah secara nyata, ia masih padat dengan maklumat serta latar belakang Seri Paduka Baginda berdua. 

“Saya dimaklumkan peralatan (seperti alat kebesaran diraja) boleh kita saksikan secara digital jadi kita dapati bahawa barangan itu (tidak dipamerkan di sini), mungkin ada peraturan yang tidak membolehkan kita melihat secara nyata peralatan tersebut. 

“Namun, saya percaya pameran yang dibawa dalam bentuk digital ini sudah mencukupi sebab kita boleh menatal (scroll) dan menyemak lewa (browsing) dengan melihat skrin yang disediakan kita selaku penganjur,” katanya pada sidang media Pameran Raja Kita di sini, hari ini.

Selain alat kebesaran diraja dan bidang kuasa Seri Paduka Baginda, pameran itu juga menyediakan infografik berkaitan biografi dan minat baginda berdua, sekali gus membuka peluang kepada rakyat Sarawak untuk mengenali lebih dekat pemimpin tertinggi negara.

“Kita juga minta supaya salinan lembut atau pautan untuk pameran 3D itu disimpan agar ia boleh diakses oleh kita di Sarawak, sama ada melalui Jabatan Penerangan (JaPen) atau Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak,” kata Julaihi yang merupakan menteri bertanggungjawab untuk sambutan itu di peringkat negeri.

Pameran Raja Kita peringkat Sarawak turut mengetengahkan aktiviti menarik antaranya kuiz ‘Raja Kita dan Kenegaraan’ serta pertandingan bergendang dan nopeng.

Sebelum ini, Julaihi dilaporkan berkata sejumlah 10,000 pengunjung dijangka menghadiri pameran berkenaan yang diadakan dengan kerjasama JaPen Sarawak, Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Jabatan Muzium Malaysia.

Turut diadakan petang tadi sempena sambutan yang berpusat di Bahagian Samarahan itu ialah Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain di Dewan Suarah Samarahan, dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Julaihi berkata Khutbah Khas akan disampaikan pada solat Jumaat esok di setiap masjid di Sarawak dan pada sebelah petangnya, satu majlis kesyukuran akan diadakan di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri masing-masing dijadualkan menghadiri majlis itu.

Wan Junaidi serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi juga akan menghadiri Majlis Jamuan Teh, Sabtu ini, bermula 10.30 pagi di DeTar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebagai satu lagi acara sambutan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan