AM > BERITA

Lebih 150,000 Dijangka Meriahkan Festival Permainan @ Kuala Lumpur 2024

06/09/2024 01:18 AM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Lebih 150,000 pengunjung dijangka membanjiri Dataran Merdeka di sini bagi memeriahkan Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2024 (FPM@KL 2024) pada 13 hingga 16 Sept ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata acara tahunan yang memasuki edisi kesembilan itu adalah antara program di bawah Kalendar Pelancongan Budaya bagi menyemarakkan dan mengangkat kembali keunikan kesenian tradisi rakyat menerusi permainan tradisional sempena Hari Malaysia.

"Kita berharap agar program ini dapat menyemarakkan semula aktiviti-aktiviti bersifat pelancongan budaya sekali gus membantu meningkatkan ekonomi rakyat setempat, selain menjadi tarikan pelancongan dalam dan luar negara," katanya dalam sidang media FPM@KL 2024, di sini, hari ini.

Beliau berkata program berkonsepkan festival itu merangkumi pelbagai kegiatan dan pengisian menarik antaranya pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, cita rasa warisan, pameran dan demonstrasi, persembahan seni budaya serta jualan.

Mohd Amran berkata seramai 2,639 peserta terdiri daripada badan beruniform, sektor korporat dan institusi pengajian tinggi bakal terlibat dalam 10 pertandingan sukan tradisional yang dikelolakan oleh Persatuan Sukan Tradisional Malaysia, meliputi acara tarik tali tradisional, galah panjang, tuju tin, batu seremban, sepak raga ratus, bola sepak kain sarung, kelereng, terompah gergasi, menyumpit dan memanah tradisional. 

Turut diadakan Kejohanan Tarik Tali Kelab-Kelab Antarabangsa di bawah penyelarasan Persatuan Tarik Tali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan kelab dari Brunei, Taiwan dan Singapura dan 60 kelab tempatan dari seluruh negara serta permainan Legenda Rakyat seperti terompah gergasi, susun bata, kaki hantu, lari dalam guni berkembar, tarik upih pinang, kelereng, tujuh tin, bola beracun dan raja dijulang.

Aktiviti lain yang akan berlangsung antaranya Baca Puisi Suara Kuala Lumpur, Pesta Cita Rasa Sambal, Eksplorasi Bahasa, Senam Joget P Ramlee dan Saloma, Pertandingan Kabaddi Terbuka Malaysia, Kejohanan Seni Silat Kreatif Berkumpulan dan Kejohanan Gasing Pangkah atau MyGasing Championship.

Mohd Azman berkata dua acara induk bersama FPM@KL 2024 ialah Festival Gendang dan Tari Antarabangsa (GENTA) dan Program Kuala Lumpur Cinta Rasul di bawah penyelarasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Tahun ini, beberapa acara baharu turut diperkenalkan antaranya persembahan tarian singa interaktif, Jom Solat Subuh Macam Jumaat, pertandingan catur Cina dan Pasar Saloma.

"Sebanyak 30 unit trak makanan atau Food Truck yang menyajikan pelbagai menu di bawah penyelarasan Persatuan Food Truck Kuala Lumpur," katanya.

Pada masa sama, Mohd Amran berkata FPM@KL 2024 turut melancarkan Senam Seni 2.0 iaitu modul baharu senam seni yang merupakan aktiviti olah tubuh hasil inisiatif JKKN menggunakan kaedah gerak tari dan gerakan kecergasan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan