BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 AM > BERITA

Jaringan Organisasi Media Asia Tenggara Perlu Diwujudkan - Fahmi

06/09/2024 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata satu jaringan yang lebih menyeluruh dalam kalangan organisasi media di rantau Asia Tenggara perlu diwujudkan.

Beliau berkata walaupun usaha mewujudkan jaringan berkenaan telah dimulakan, namun ia perlu diperhebatkan lagi bagi membolehkan negara ASEAN menjadi lebih rapat.

“Saya lihat dalam kalangan negara ASEAN memang kita perlu bukan hanya interaksi dan ruang untuk membuat pelaporan; tetapi juga mendengar kisah-kisah dari rantau Asia Tenggara.

“Saya harap menjelang kepengerusian ASEAN tahun depan, Malaysia dapat memainkan peranan sebagai tuan rumah untuk mengumpulkan organisasi media dari rantau Asia Tenggara, dan berkolaborasi dengan lebih rapat.

“Harapan saya juga tahun hadapan kita akan dapat satu jaringan yang lebih lebih padu dalam kalangan organisasi media dari rantau Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun ke-25 Asia News Network (ANN) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai yang juga penasihat ANN.

Justeru, beliau berkata organisasi media seperti RTM dalam perancangan untuk mewujudkan satu rangkaian baharu berkenaan ASEAN 2025.

Sementara itu, Fahmi berkata sambutan ulang tahun ke-25 ANN diharap dapat memberi ruang kepada organisasi media di dalamnya untuk menerbitkan lebih banyak berita perkembangan di seluruh Asia supaya pembaca boleh menikmati berita yang ditulis sendiri oleh media di rantau itu dan bukannya oleh media asing.

“Ini penting kerana untuk kita memahami sesama jiran dalam Asia, ada kewajaran agar organisasi media saling berhubung dan menghantar berita sesama mereka untuk dipaparkan di akhbar atau laman web media masing-masing.

“Dengan cara itu, saya percaya kita akan dapat mendengar suara yang lebih autentik (asli dan benar) dari negara Asia itu sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas tentang jemputan Presiden Rusia Vladimir Putin kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS bulan depan, Fahmi berkata ia merupakan satu perkembangan yang sihat dan positif kepada negara.

Beliau berkata hal ini kerana walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang tidak berpihak dengan mana-mana negara, namun ia juga berhak untuk mengadakan hubungan bukan hanya dari segi diplomatik, tetapi juga ekonomi.

“ … jemputan daripada Presiden Putin kepada Malaysia ialah satu perkembangan positif dan kita harap akan dapat membuahkan pulangan.

“ … sekiranya kita boleh melihat kemampuan dari segi ekonomi untuk meningkatkan hubungan perdagangan dua hala atau pelbagai hala, ia merupakan satu net positif untuk Malaysia,” katanya.

Semalam, Anwar semasa ucapannya pada sesi pleno Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 di Vladivostok, Rusia menzahirkan rasa terima kasih kepada Putin kerana menjemput beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Rusia.

BRICS ialah blok kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang ditubuhkan pada 2009, merangkumi Brazil, Rusia, India serta China dan disusuli penyertaan Afrika Selatan pada 2010.

Pada Jan 2024, negara seperti Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyertainya sebagai anggota baharu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan