AM > BERITA

Tuisyen Percuma Bantu 450 Murid Keciciran Di Kelantan

06/09/2024 02:42 PM

Oleh Habsah Ismail

KOTA BHARU, 6 Sept (Bernama) -- YOKUK Foundation dengan sokongan Yayasan Hasanah, Neumera (M) Sdn Bhd dan Kementerian Kewangan menganjurkan program Peningkatan Pencapaian Murid Pemulihan Khas bagi membantu 450 murid daripada golongan kurang bernasib baik.

Pengerusinya Sulaini Mat Il berkata program berkenaan memberi tumpuan kepada murid normal yang masih belum menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, mengira dan menulis serta menghadapi keciciran pencapaian dalam pembelajaran.

“Program ini menyediakan kelas tuisyen secara percuma membabitkan 23 sekolah di Kelantan.

"Menerusi program ini, murid dibekalkan dengan modul, alat tulis, makan tengahari secara percuma dan hadiah sebagai ganjaran serta alat bantuan mengajar kepada guru terlibat," katanya kepada Bernama hari ini.

Sulaini berkata program yang dijalankan di daerah Pasir Puteh bermula November tahun lepas membabitkan 13 sekolah telah menunjukkan hasil positif apabila sebanyak 131 daripada 300 murid berjaya dikeluarkan daripada program berkenaan selepas enam bulan dilaksanakan.

"Murid berkenaan kini berada dalam aliran perdana. Kami di YOKUK berpendapat bahawa murid ini perlu diberikan sokongan tambahan dalam usaha menarik minat mereka ke arah pembelajaran. 

"Dengan cara ini, kita mampu meningkatkan prestasi dalam pembelajaran sekali gus mengurangkan jurang dalam sistem pembelajaran di Malaysia dan tidak mustahil suatu hari mereka akan berjaya menjadi murid cemerlang," katanya.

Selain di Pasir Puteh, program sama turut diadakan di Tumpat bermula Mei lepas membabitan 150 murid daripada 10 sekolah terpilih.

"Kita juga bercadang untuk mengadakan program ini di Pasir Mas dengan penglibatan 10 buah sekolah membabitkan 200 murid,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan