AM > BERITA

Sultan Ibrahim Berangkat Ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran

07/09/2024 11:39 AM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menghadiri Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 di Istana Negara.

Ia merupakan istiadat pengurniaan darjah kebesaran pertama yang disempurnakan Seri Paduka Baginda setelah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai lepas.

Turut berangkat ke istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perdana Menteri dan isteri kemudiannya mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ke Peterana Diraja bagi menerima Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Dataran Istana Negara. 

Serentak dengan itu, lagu Negaraku dimainkan Pancaragam Pusat RAMD dan Panji Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan diikuti 21 das tembakan meriam.

Sultan Ibrahim kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dan selesai pemeriksaan, Seri Paduka Baginda sekali lagi menerima Hormat Diraja sebelum lagu Negaraku berkumandang. 

Seri Paduka Baginda berdua kemudiannya diiringi perdana menteri dan isteri, berangkat meninggalkan Peterana Diraja bagi meneruskan atur cara Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Balairung Seri. 

Sebanyak 116 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi dalam istiadat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen negara.

Turut hadir ke istiadat berkenaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan tahun ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan