AM > BERITA

JKN Perlis Pantau Tiga Pintu Masuk Untuk Cegah Penularan MPox

07/09/2024 05:10 PM

KANGAR, 7 Sept (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa di tiga pintu masuk negara ini iaitu di Padang Besar, Wang Kelian dan Kuala Perlis dalam usaha mencegah penularan virus cacar monyet atau “mpox”.

Pengarah Kesihatan Perlis Dr Ghazali Chik berkata petugas kesihatan di negeri itu sentiasa bersedia membuat saringan terhadap pengunjung termasuk pengembara berisiko tinggi yang keluar masuk menerusi tiga laluan masuk tersebut bagi melaksanakan proses pencegahan mpox.

“Kumpulan berisiko tinggi seperti dimaklumkan Kementerian Kesihatan terutama dari Afrika dan sebagainya memang akan diberi tumpuan khusus. Bagi mereka yang didapati ataupun disaring memiliki gejala dan tanda seperti mpox memang kita telah sedia ada proses kerja untuk laksana pencegahan.

“Saringan awal ini kita kena tentukan mereka dari negara mana dan sekiranya ada makluman bahawa mereka ini mempunyai tanda-tanda mpox, pegawai kita di pintu masuk akan meneliti lebih lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini pihaknya tidak mengesan kes mpox melalui pintu masuk ke negara ini melalui Perlis.

Terdahulu Dr Ghazali merasmikan Karnival Kenali Ubat Anda sempena sambutan Hari Farmasi Sedunia dan Hari-Hari Kesihatan Negeri Perlis 2024 di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan