AM > BERITA

Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 Kembali Meriahkan Hari Kebangsaan

07/09/2024 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menganjurkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 buat tahun kedua di Pulau Pinang selepas penganjuran kali pertama mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Karnival yang diadakan secara on-ground-event itu merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN bertujuan meraikan Bulan Kebangsaan di samping membudayakan penabungan dalam kalangan masyarakat.

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan melalui karnival itu, pihaknya turut menerapkan nilai-nilai kemerdekaan melalui perancangan kewangan yang baik agar masyarakat bebas merdeka daripada hutang yang pastinya akan membawa kemerdekaan jiwa dan minda.

“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, PTPTN telah menyediakan instrumen simpanan terbaik bagi mendorong dan menggalakkan masyarakat membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

“Apabila anak-anak dewasa kelak, mereka telah ‘merdeka’ daripada membuat pinjaman pendidikan dan menyambung pengajian menggunakan simpanan yang dibuat di Simpan SSPN,” menurut kenyataan itu.

Majlis pelancaran karnival itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin di Giant Bayan Baru, Pulau Pinang, yang turut dihadiri Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan pemberian sumbangan peranti kepada 10 pelajar asnaf bagi membantu mereka dalam pembelajaran.

Sempena karnival itu, pelbagai aktiviti disediakan antaranya pameran jualan usahawan dan rakan kolaborasi, Jualan Rahmah, Klinik Memanah, Permainan e-Sport, pelbagai pertandingan seperti mewarna dan pakaian beragam, slot Genius IQ PTPTN, cabutan hadiah dan penampilan istimewa Maskot P&T.

PTPTN turut membuka kaunter promosi Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai cenderamata eksklusif bagi pembukaan akaun atau membuat penambahan deposit.

“Selain itu, PTPTN turut mengadakan slot Sesi ‘Ngopi’ Bersama Datuk Seri Norliza Abdul Rahim untuk memberikan pendedahan serta informasi mengenai peranan dan fungsi PTPTN dan produk Simpan SSPN,” menurut kenyataan itu.

Norliza dalam kenyataan sama berkata acara kemuncak ialah Larian Kasih Merdeka PTPTN 2024 sejauh lima kilometer yang turut melibatkan aktiviti memasang bendera di setiap rumah di sekitar kawasan perumahan Bayan Baru, selaras dengan inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ yang diketengahkan oleh Kementerian Komunikasi untuk sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

“Kemerdekaan sewajarnya difahami bukan hanya bebas daripada dijajah. Kemerdekaan sebenar merupakan perjuangan masyarakat untuk menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik, memiliki kekuatan jati diri dan semangat cintakan negara.

“Kemerdekaan juga membawa mesej tentang kepentingan masyarakat mempunyai perancangan kewangan yang baik untuk bebas merdeka daripada bebanan hutang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan