AM > BERITA

Tourism Malaysia Pergiat Promosi Pelancongan Durian Di Luar Negara

07/09/2024 05:51 PM

BUKIT MERTAJAM, 7 Sept (Bernama) -- Tourism Malaysia akan meningkatkan kempen dan promosi pakej pelancongan durian di luar negara dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negara ini untuk menikmati raja buah itu.

Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Yeoh Soon Hin berkata berdasarkan tinjauan, pihaknya mendapati pelancong asing terutama dari China dan Hong Kong sangat meminati durian di negara ini. 

"Memang mengikut perancangan kami akan terus tingkatkan promosi pelancongan durian di luar negara dan yang kita tawarkan ialah pelancong bukan sahaja dapat menikmati durian, malah terdapat aktiviti lain juga seperti seminar dan sebagainya.

"Sebelum ini, kami mendapat maklum balas (pelancongan durian) yang sangat baik dan mereka bukan sahaja datang makan durian, tetapi juga menghabiskan beberapa hari melancong dengan menginap di hotel, makan-makan dan membeli-belah … ini dapat membantu ekonomi kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program "Jom Durian" Harga B40 Kualiti T20 di sini hari ini.

Beliau berkata usaha Mydin dalam mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu dijadikan contoh kepada syarikat swasta lain untuk mempromosikan durian sebagai satu daripada produk pelancongan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Mydin Wilayah Utara Azmin Saduruddin berkata sebanyak empat tan durian dari Balik Pulau dan Raub, Pahang disediakan dalam program hari ini dengan dua lokasi terlibat iaitu di Mydin Bukit Mertajam hari ini dan Mydin Pelangi Indah, Johor pada 5 Okt.

Beliau berkata program itu memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati sedulang durian dengan harga serendah RM100 bagi empat kilogram isi durian berkualiti antaranya Musang King, D24, XO, Udang Merah dan D101 pada harga mampu milik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan