AM > BERITA

Muzium Terapung Feri Ikonik Pulau Pinang Beroperasi Hujung Tahun Ini

07/09/2024 05:57 PM

BUKIT MERTAJAM, 7 Sept (Bernama) -- Feri ikonik Pulau Pinang yang dijadikan muzium feri terapung di Tanjung Marina, di sini akan beroperasi penghujung tahun ini dan proses ubah suai telah mencapai 90 peratus.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata sebuah lagi feri ikonik pula berada pada syarikat pemaju Ideal Property yang akan dijadikan restoran terapung dan kini ditempatkan di persisiran laut di Queensbay, Bayan Lepas.

"Apa yang akan ada dalam muzium feri itu saya tidak mahu maklumkan sekarang dan biarlah semasa pelancarannya kita semua tahu mengenainya, tetapi saya boleh maklumkan muzium itu dijangka dibuka pada penghujung tahun ini,” kepada pemberita selepas merasmikan Program "Jom Durian" Harga B40 Kualiti T20 di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Sebelum ini, Yeoh memaklumkan pihaknya memutuskan untuk melupuskan beberapa feri ikonik dengan kadar segera kerana kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilaksanakan susulan pereputan yang serius dan tidak boleh diapungkan.

Beliau berkata terdapat beberapa syarikat telah datang untuk melihat feri ikonik berkenaan, namun tidak jadi dibeli kerana ia bukan sahaja memerlukan modal yang tinggi untuk dibaiki, malah kos penyelenggaraan yang mahal.

Sebelum ini SPPP telah memajak feri ikonik kepada beberapa syarikat yang layak untuk dijadikan produk pelancongan negeri pada 2021, namun hasrat menjadikan Feri Pulau Kapas sebagai restoran terapung gagal direalisasi susulan ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian dan pajakan ditamatkan pada Februari 2023.

Perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang ditamatkan pada 2020 setelah beroperasi lebih 126 tahun dan digantikan dengan perkhidmatan bot laju untuk membawa penumpang individu serta feri bagi motosikal dan basikal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan