AM > BERITA

Tindakan Platform Media Sosial Kekang Jenayah Masih Lemah - Fahmi

07/09/2024 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan tindakan penyedia media sosial dalam mengekang aktiviti jenayah masih lemah walaupun 21 perbincangan telah diadakan antara kementerian dan semua platform berkenaan sehingga kini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata penyedia media sosial dilihat tidak mengambil inisiatif untuk mengkaji dan mengenal pasti trend aktiviti jenayah di platform mereka, sebaliknya hanya menunggu aduan untuk tindakan susulan.

“Sekiranya scam (penipuan) itu telah dikenal pasti trend dan caranya, seharusnya platform-platform ini mengambi ikhtiar lebih menyeluruh. Sebagai contoh menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk kenal pasti semua akaun terlibat (jenayah penipuan) dan membasmi semua akaun ini.

“Mereka sentiasa mengatakan we have products and tools (kami ada produk dan alat untuk mengekang jenayah) tetapi kita tidak pernah melihat tools (alat) yang benar-benar dapat mengekang masalah jenayah scam (Penipuan) sebagai contoh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Hari-Hari Bola Piala MADANI Lembah Pantai di Universiti Malaya di sini hari ini. 

Fahmi berkata disebabkan perkara itu, kerajaan melaksanakan kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial yang diperkenalkan pada 1 Ogos dan berkuat kuasa mulai tahun depan.

Beliau berkata melalui perlesenan itu, kerajaan boleh mengeluarkan arahan serta mengambil tindakan sekiranya sesuatu platform media sosial itu tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

“Akan ada tindakan kepada mereka termasuk denda, kompaun atau tindakan lain yang sedang dikenal pasti melalui kod tatakelakuan yang sedang dibina bersama dengan pihak platform media sosial juga,” katanya.

Pada 27 Julai lepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Ditanya sama ada kerajaan berhasrat untuk mengetatkan peraturan kandungan melibatkan kanak-kanak bawah umur secara dalam talian, Fahmi berkata perkara itu sedang diteliti bagi memastikan penggunaan Internet dan keselamatan kanak-kanak terjamin.

Beliau turut mengalu-alukan langkah proaktif Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia untuk menambah baik garis panduan dan etika pemandu bas sekolah bagi kepentingan menjaga keselamatan kanak-kanak dan berharap langkah itu diperluas kepada pihak lain yang terlibat dengan kanak-kanak bawah umur.

“Ini penting supaya ibu bapa rasa anak-anak mereka sentiasa selamat. Ini juga kita lihat kepada guru-guru yang juga main peranan. Sebelum ini ada guru yang memaparkan wajah-wajah anak murid tanpa pengetahuan dan kebenaran ibu bapa.

“Jadi sama ada pengendali bas sekolah atau guru-guru, malah sesiapa yang menjadi penjaga kepada kanak-kanak harus faham terutama mengenai Akta Kanak-Kanak dan Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Semalam polis menahan seorang pemandu bas berusia 24 tahun yang memuat naik video yang memaparkan kanak-kanak dibawanya dalam bas di Simpang Renggam, Kluang dan merampas telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan