AM > BERITA

Hsn 2024: Jabatan Belia Dan Sukan Melaka Sasar Penglibatan 129,000 Peserta

07/09/2024 06:47 PM

MELAKA, 7 Sept (Bernama) -- Jabatan Belia dan Sukan Melaka menyasarkan penglibatan kira-kira 129,000 peserta pada sambutan Hari Sukan Negara tahun ini menerusi penganjuran pelbagai program di peringkat daerah dan negeri ini. 

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk VP Shanmugam berkata sambutan itu diadakan secara berperingkat bermula 11 Okt di semua daerah sebelum acara kemuncak sambutan peringkat negeri berlangsung pada 13 Okt di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir.

"Pada sambutan yang memasuki edisi kesembilan tahun ini, di Melaka kita bakal menampilkan kelainan dengan majlis perasmian Hari Sukan Negara 2024 bertemakan #Cergas Bersama diadakan buat pertama kali pada sebelah malam.

"Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang sambutan dengan lebih 20 aktiviti sukan dan kecergasan seperti larian, senamrobik, sukan tradisional, sukan lasak dan rekreasi," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Praperasmian Hari Sukan Negara 2024 sempena Kejohanan Master Sports peringkat negeri, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka Mohamad Mazlan Anis di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Shanmugam berkata penganjuran Hari Sukan Negara 2024 peringkat negeri di Banda Hilir itu turut diadakan bersama-sama peringkat daerah Melaka Tengah.

Peringkat daerah Alor Gajah katanya dijadual diadakan di Padang Taman Seri Aman, Masjid Tanah manakala peringkat daerah Jasin di Pekan Merlimau. 

Beliau berkata bersempena sambutan Hari Sukan Negara 2024 itu juga, kerajaan negeri bakal menganjurkan Sukan Melaka 2024 membabitkan penyertaan peserta di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri di negeri ini.

"Pada tahun ini kita telah menambah satu acara baharu iaitu snuker selain mempertandingkan lima sukan lain seperti tahun lepas iaitu bola sepak, futsal, sepak takraw, bola jaring dan bola keranjang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan