AM > BERITA

Sisa Kimia Tercemar Akan Dipindah Segera Dari Kawasan Perindustrian Tiong Nam

07/09/2024 06:54 PM

JOHOR BAHRU, 7 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru akan mengambil tindakan bagi memindahkan sisa kimia tercemar dari Kawasan Perindustrian Tiong Nam ke pusat rawatan, pada kadar segera.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata pihaknya sentiasa memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam menjadi keutamaan dalam usaha menangani insiden itu.

"Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan agar tidak panik dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta hubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor di talian 1-800-88-2727 atau Bilik Gerakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Johor Bahru di talian 07-2200604, bagi membolehkan tindakan segera diambil.

"Pada masa sama, kita mengecam tindakan pihak atau individu terbabit yang mengambil jalan pintas untuk melupuskan sisa kimia secara haram," katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Ling berkata kes disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara mandatori dan denda maksimum RM10 juta.

Semalam media melaporkan JAS dan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri menemukan bahan kimia mencurigakan yang dibuang di tebing anak Sungai Plentong di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya, di sini. 

Ling dipetik berkata terdapat tumpahan minyak di permukaan sungai itu dan sampel telah diambil serta pembersihan sebahagian tumpahan minyak itu dibuat menggunakan pad penyerap.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan